Oleh Ku Mohd Lufti
Tiada apa lagi yang mampu diluahkan apabila melihat darah daging sendiri mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, meskipun serba kekurangan.
Itulah yang dirasai bapa kepada pemenang pingat emas acara 100 meter T36 lelaki, Mohamad Rizuan Mohamad Puzi selepas mendapat khabar gembira dari kota Rio.
Mohd Puzi yang ditemui media tempatan berbangga dengan Rizuan yang mampu berdikari dalam bidang yang diminatinya.
“Saya lega mengenangkan dia (Ridzuan) kini mampu berdikari. Sebelum ini saya sentiasa sayu mengenangkan bagaimana nasibnya jika saya dan isteri sudah tiada nanti.
“Tetapi rezeki dan ketentuan Allah berikan yang terbaik kepadanya, saya akan terus sokong serta berdoa untuk kejayaan dirinya,” kata Puzi.
Tiada ucapan lain selain terima kasih kepada semua pihak yang membantu Rizuan dan keluarga sehingga berjaya membutirkan emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 awal pagi tadi.
 Mohamad Ridzuan memecah tradisi dalam peyertaan Malaysia di Sukan Paralimpik apabila lariannya memberikan pingat emas pertama Malaysia dengan catatan 12.07 saat.
Pencapaian terbaik Malaysia adalah satu perak dan dua gangsa pada tahun 1992, malah ini merupakan pingat pertama negara dalam acara olahraga.
Selepas Rizuan, Muhd Ziyad Zolkefli pula membanggakan negara apabila meraih emas dan memperbaharui rekod dunia menerusi acara lontar peluru F20.