Oleh Ku Mohd Lufti
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan telahpun menghantar surat jemputan kepada negara negara Asia Tenggara untuk mendapatkan anggaran jumlah atlet dan pegawai yang akan berkampung di Malaysia sepanjang aksi bagi Sukan SEA ke 29 dan Para ASEAN ke 9 tahun depan.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo mengesahkan perkara tersebut ketika Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke 180 di Kuala Lumpur pada Sabtu (3 Disember 2016).
“Kita akan dapat jumlah anggaran penyertaan daripada negara negara yang akan bertanding samada pertengahan atau 23 Disember depan untuk menyelaraskan hal hal berkaitan penginapan dan lain lain kemudahan.
“Sukan SEA dan Para ASEAN ini melibatkan banyak acara sukan dan atlet serta pegawai tidak akan menginap sehingga ke hari terakhir temasya.”Kata Datuk Low Beng Choo.
Tambahnya lagi, menerusi jumlah anggaran yang akan diterima kelak, MOM dan MASOC akan mendapat gambaran awal jumlah atlet dan pegawai bagi setiap sukan sekaligus melakukan persiapan terutamanya kemudahan penginapan dan pengangkutan.
Proses penetapan venue bagi acara acara sukan serta kemudahan sepanjang temasya Kuala Lumpur 2017 dijangka akan diketahui pada Januari 2017.