Oleh Ku Mohd Lufti
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo mengumumkan dua lagi acara tambahan disenaraikan dalam kertas cadangan Sukan SEA 2017.
Acara ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) yang akan bermesyuarat petang ini.
“Dua acara tambahan akan disyorkan kepada Jawatankuasa Eksekutif hari ini. Jadi jumlah acara terkini yang akan dibentangkan adalah 405. Acara Tersebut adalah sepak takraw, Quandrant Lelaki dan Wanita,” kata Beng Choo.
Beng Choo terdahulu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan bagi Sukan SEA 2017 di ibu negara.
Tambah Beng Choo lagi, mesyuarat yang akan berlangsung selama dua hari ini merupakan platform terakhir untuk proses rayuan sebelum jumlah sukan dan acara ditetapkan selepas Mesyuarat Majlis SEAGF pada pagi Khamis.
“Ada beberapa sukan yang membuat rayuan untuk dimasukkan ke dalam Sukan SEA seperti mendayung Kenu, Kempo, Bridge serta angkat berat dan tinju kategori wanita. Sukan Sukan ini tiada di dalam senarai terakhir yang kita umumkan iaitu 38 jenis sukan dan 405 acara termasuk dua tambahan bagi sukan sepak takraw,” katanya lagi.
Wakil wakil negara Asia Tenggara akan berkampung selama dua hari bermula hari ini untuk menghadiri Mesyuarat Majlis dan Jawatankuasa Persekutuan Sukan Sukan Asia Tenggara (SEAGF).
Mesyuarat ini juga akan menetapkan jumlah sukan dan acara yang akan dipertandingkan bagi temasya Sukan SEA 2017 serta keputusan penggabungan Sukan SEA ke 29 dan Sukan Para ASEAN ke 9.