Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Romel Morales mengakui masih dalam fasa menyesuaikan diri beraksi di posisi penyerang dalam usaha membantu pasukan menjelang perlawanan Liga Super berdepan Sri Pahang FC, esok.
Morales ketika ini kembali diberi kepercayaan untuk diletakkan selaku penyerang selepas Kuala Lumpur kehilangan penyerang import baharu, Kyrian Nwabueze susulan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami pada bulan lalu.
Jelasnya, situasi yang sering menimpa pasukan apabila membabitkan kecederaan penyerang sepertimana, Dominique Da Sylva juga pada awal musim memaksa pengendali, Bojan Hodak menggunakan kudrat pemain dari Columbia ini di posisi serangan.
Meskipun agak bergelut, Morales tetap berusaha keras untuk memastikan pasukan tidak kehilangan mata apatah lagi Sri Pahang mempunyai pemain import yang mampu beri ancaman besar kepada mereka dalam aksi pada malam esok.
“Saya rasa ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik di mana kami tetap menghormati Sri Pahang dan cukup penting untuk kami dapatkan tiga mata.
“Kami tidak pernah tewas lagi dalam lapan perlawanan terdahulu, dan sememangnya kami nak kekalkan prestasi sedemikian dan tidak mahu berdepan kekalahan yang sia-sia.
“Cuma untuk diri saya, rasanya semua tahu bagaimana bukannya mudah untuk saya apabila perlu belajar untuk menjadi seorang penyerang dan apatah lagi saya tidak pernah lagi beraksi di posisi itu sebelum ini.
“Cuma musim ini, memang nasib agak kurang baik apabila pasukan perlu berdepan kecederaan yang melanda penyerang-penyerang dan sekarang menjadi tugas saya untuk cuba beraksi dengan lebih baik di posisi itu,” jelasnya.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh pula menegaskan anak buahnya tidak boleh ulangi kesilapan sama ketika tewas kepada Terengganu FC tempoh hari.
Jelasnya, Kuala Lumpur yang dilihat lebih konsisten berbanding Sri Pahang pastinya tidak akan membiarkan mereka tersungkur di Stadium Darul Makmur dan mengharapkan kembalinya pemain seperti Manuel Hidalgo dan Abubakar Yakubu dalam kesebelasan utama dapat memberikan sesuatu.
“Masa lawan dengan Terengganu hari itu, saya pun pelik kenapa pemain-pemain saya tidak beraksi sepertimana yang kita harapkan, tidak macam selalu.
“Harapnya menentang Kuala Lumpur esok akan ada perubahan yang lebih positif dan kemasukan semula Hidalgo, Abubakar Yakubu dalam skuad utama dapat memantapkan lagi pasukan.
“Cuma saya sentiasa ingatkan pemain bahawa sekarang kita tidak boleh lagi selesa sebab hanya beza beberapa mata sahaja dengan pasukan di zon penyingkiran.
“Jadi harapnya kita mampu memang sebab lawan esok juga makin lama makin garang dan lebih konsisten kalau nak dibandingkan dengan Sri Pahang sekarang”, katanya.
Kuala Lumpur ketika ini menghuni tangga keenam Liga Super dengan 24 mata manakala Sri Pahang di kedudukan kesembilan dengan 17 mata.