Situasi semasa pendemik Covid 19 yang sedang melanda dunia ketika ini tampak memberi impak kepada arena sukan dalam dan luar negara.
Ia termasuk Malaysia yang masih belum membenarkan sebarang kejohanan bertaraf antarabangsa bagi mengelak pertambahan kes jangkitan Covid 19.
Saingan Moto GP yang sepatutnya berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada penghujung Oktober depan turut menerima tempias apabila sah dibatalkan.
Menerusi kenyataan media, Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports mengumumkan pembatalan GP Malaysia dan dua lagi perlumbaan, GP Thailand dan GP Argentina.
Malah, musim 2020 akan berlangsung di sekitar Eropah dan venue akan ditambah termasuk bagi tarikh 20-22 November yang menjadi perlumbaan terakhir bagi musim ini namun ia masih belum diputuskan.
Bagi musim 2021, Dorna Sports yang juga pemegang ekslusif komersial dan hak siaran MotoGP telahpun mengadakan perbincangan dengan Malaysia berhubung tarikh sesuai untuk penganjuran MotoGP Malaysia bagi musim 2021.
SIC dibanjiri kira kira 100 000 pengunjung dalam dan luar negara sepanjang penganjuran GP Malaysia.
Meskipun sedih dengan pengumuman pembatalan GP Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta berharap perkembangan positif diterima pada edisi seterusnya.
“Ketibaan peminat di Termas de Rio Hondo (Argentina), Buriram dan Sepang sangat luar biasa, sentiasa mencetuskan suasana dan sambutan luar biasa terhadap sukan ini. Kami sangat berharap dapat kembali ke Thailand, Argentina dan Malaysia tahun depan dan seperti biasa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para peminat atas kesabaran dan pengertian mereka,” katanya
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif akur dengan situasi semasa ini namun berharap ia tidak mematahkan semangat pelumba pelumba tempatan khususnya untuk mempamer kehebatab masing masing pada tahun depan.
Tambahnya, keselamatan semua pihak dan peminat sukan permotoran adalah keutamaan ketika ini dan tidak mahu mengambil risiko.
Azhan juga mahu peminat sukan permotoran negara terus memberi sokongan kepada pelumba pelumba negara yang sedang beraksi ketika ini.
GP Malaysia adalah venue paling lama di Asia Tenggara sejak 1991, menyaksikan SIC menjadi venue tetap dalam kalendar setelah berpindah dari Litar Shah Alam dan Johor pada 1999.
Litar Antarabangsa Sepang juga adalah salah satu litar terpanjang dan mencabar dalam musim perlumbaan dan menjadi litar kegemaran dalam kalangan pelumba serta pasukan. Litar sepanjang 5.543km turut menganjurkan pelbagai perlumbaan klasik serta menyediakan pengalaman unik kepada para peminat sukan permotoran.