sazali.samad

Oleh Ku Mohd Lufti

Tidak sampai 24 jam selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bina Badan Malaysia PBBM mengekalkan hukuman penggantungan 4 tahun, jaguh bina badan negara Sazali Samad memutuskan untuk mencabar keputusan tersebut.

Sazali merasakan persatuan tidak mengikut peraturan yang terkandung dalam Kod Agensi Antidoping Dunia (WADA) 2015 dalam mengendalikan proses rayuannya, dan akan membawa keputusan rayuan hukuman penggantungan selama empat tahun yang dikenakan ke atasnya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland, dalam masa terdekat.

Menurut WADA, Artikel 13.2.2 menetapkan bahawa pendengaran terhadap rayuan perlu dibuat oleh pihak Jawatankuasa Rayuan dan anggota jawatankuasa perlu terdiri daripada mereka yang tidak berkepentingan serta adil dalam membuat keputusan rayuan.

Artikel tersebut juga memberi hak kepada atlet untuk melantik peguam untuk mewakili mereka dalam proses rayuan dan menetapkan bahawa keputusan rayuan perlu dibuat secara bertulis berserta alasan-alasan terhadap keputusan mereka.

“Saya menolak keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan PBBM. Pihak saya tidak pernah dipanggil untuk pendengaran terhadap rayuan dan saya juga tidak dimaklumkan barisan ahli jawatankuasa rayuan PBBM. Peguam saya juga tidak diberi ruang dan peluang untuk memberi hujah serta alasan terhadap pengurangan hukuman di hadapan jawatankuasa tersebut,” kata Sazali Samad.

Kekecewaan Sazali semakin bertambah apabila PBBM tidak menyatakan sebarang alasan terhadap keputusan Jawatankuasa Rayuan untuk rujukannya dan juga peguam beliau, Mohd Norasmawi Norani.

Surat rayuan dihantar kepada Jawatankuasa Rayuan PBBM pada 9 Jan dan surat rasmi keputusan rayuan diterima 26 Mac lepas.

- Advertisement -