Penganjur Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memperkenalkan tiga rakan penaja baru yang bakal menambah nilai populariti dan kelancaran saingan jelajah terunggul Asia itu, 23 hingga 30 September ini.
Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail berkata, TikTok Malaysia diumumkan sebagai rakan penaja media sosial rasmi; Dahua Technology sebagai pembekal peralatan dan perkhidmatan komunikasi rasmi manakala PACE menjadi pembekal pakaian dan barangan rasmi untuk edisi ke-27 LTdL 2023 yang akan membuka tirai saingannya pada Peringkat 1 di Kerteh.
Kehadiran ketiga-tiga rakan penaja berkenaan, katanya, tidak syak lagi akan mempopularkan lagi jelajah berstatus ProSeries itu, selain melancarkan perjalanan dan keselesaan perlumbaan untuk para petugasnya.
“MSN telah memuktamadkan perjanjian bersama-sama dengan tiga penaja ini dan akan terus berusaha memuktamadkan beberapa penajaan lagi di mana pengumuman mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Namun apa yang penting, MSN amat menghargai dan merakam ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian tiga rakan penaja hari ini yang akan bersama-sama memeriahkan LTdL 2023 ini,” katanya dalam ucapan ketika majlis Pengumuman Penaja LTdL 2023 di MSN, hari ini.
Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif PACE, Teoh Chia Chun; Pengurus Kandungan dan Operasi Sports TikTok Malaysia Darren Quek, dan Ketua Pegawai Eksekutif Mal-Tel Holding Berhad, Simon Yew Chia Wei.
Menurutnya, tajaan TikTok Malaysia akan membantu mempromosikan perlumbaan LTdL secara lebih meluas di platform media sosial milik mereka, termasuklah siaran secara langsung, paparan kandungan LTdL secara lebih kreatif dan mengikut trend semasa untuk meraih statistik tontonan yang lebih besar.
“Malah setakat ini, sebanyak 49 video LTdL 2023 sudah disiarkan sejak bulan lalu dengan mendapat jumlah tontonan melebihi 1.2 juta,” katanya.
Sementara itu, PACE yang tampil sebagai pembekal keseluruhan penyediaan pakaian rasmi dan barangan cenderamata (Official Merchandise) kepada petugas LTdL, selain barangan jualan kenang-kenangan kepada orang ramai.
“MSN juga berasa bertuah kerana PACE turut bersetuju membekalkan jersi-jersi pendahulu daripada bahan yang berkualiti tinggi, yang akan dapat kita saksikan ketika majlis penyampaian hadiah sepanjang lapan hari jelajah LTdL berlangsung.
“Yang penting, kerjasama MSN dan PACE akan membolehkan jenama tempatan ini mendapat pendedahan secara lebih meluas kerana LTdL ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran-saluran televisyen antarabangsa,” katanya lagi.
Menurutnya, penajaan syarikat Dahua Technology pula merangkumi penyediaan peralatan radio komunikasi dan kamera badan (body cam) berteknologi tinggi bagi membantu tugas komisar, khususnya komisar bermotosikal untuk merakam insiden-insiden penting dalam perlumbaan yang memerlukan rakaman video sebagai bukti.
Aspek teknologi amat penting dalam penganjuran sukan moden dan penggunaan sistem Push To Talk On Cellular (PTTOC) buat julung kalinya yang diperkenalkan Dahua Technology dalam LTdL 2023 ini bagi menggantikan sistem radio ‘trunking’, akan memastikan sistem radio komunikasi menjadi lebih efisyen dan berada di tahap tertinggi.
Beliau berkata, kehangatan LTdL 2023 yang bertemakan ‘Beat The Heat’ sememangnya semakin dirasai dan ini terbukti apabila penganjur mendapat permohonan daripada lima pasukan untuk tiba lebih awal di negara ini bagi menyesuaikan diri dengan cuaca serta merangka strategi perlumbaan mereka.
LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,277.1km, bermula pada 23 September di Kerteh, Terengganu, melewati 11 daripada 12 buah negeri di Semenanjung dan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada 30 September.
Sebanyak 22 pasukan, melibatkan dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental dan pasukan kebangsaan Malaysia akan bertanding.
Senarai pasukan yang telah mengesahkan penyertaan untuk LTDL 2023:
BIL. | PASUKAN | KATEGORI | NEGARA DIDAFTARKAN |
1. | ASTANA QAZAQSTAN TEAM | UCI WORLD TEAM | KAZAKHSTAN |
2. | EF EDUCATION-EASYPOST | UCI WORLD TEAM | USA |
3. | CAJA RURAL-SEGUROS RGA | UCI PROTEAM | SEPANYOL |
4. | EQUIPO KERN PHARMA | UCI PROTEAM | SEPANYOL |
5. | EUSKALTEL – EUSKADI | UCIPROTEAM | SEPANYOL |
6. | GREEN PROJECT – BARDIANI CSF – FAIZANE | UCI PROTEAM | ITALI |
7. | TEAM CORRATEC – SELLE ITALIA | UCI PROTEAM | ITALI |
8. | HUMAN POWERED HEALTH | UCI PROTEAM | USA |
9. | TUDOR PRO CYCLING TEAM | UCI PROTEAM | SWITZERLAND |
10. | BOLTON EQUITIES BLACK SPOKE PRO CYCLING | UCI PROTEAM | NEW ZEALAND |
11, | TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | MALAYSIA |
12. | 7ELEVEN CLIQQ – AIR21 BY ROADBIKE PHILIPPINES | UCI CONTINENTAL | FILIPINA |
13. | NUSANTARA CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | INDONESIA |
14. | HENGXIANG CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | CHINA |
15. | LI NING STAR | UCI CONTINENTAL | CHINA |
16. | GIANT CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | CHINA |
17. | ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | AUSTRALIA |
18. | KSPO PROFESSIONAL | UCI CONTINENTAL | KOREA SELATAN |
19. | JCL TEAM UKYO | UCI CONTINENTAL | JEPUN |
20. | ROOJAI ONLINE INSURANCE | UCI CONTINENTAL | THAILAND |
21. | THAILAND CONTINENTAL CYCLING TEAM | CONTINENTAL | THAILAND |
22. | MALAYSIA NATIONAL TEAM | CONTINENTAL | KEBANGSAAN |