Oleh Muhammad Aiman
Pemain skuash nombor satu negara, Dato’ Nicol David mudah menjinakkan pemain Amerika, Reyna Pacheco dalam aksi pusingan pertama Kejohanan Skuash Terbuka Netsuite yang berlangsung di San Francisco pada Rabu.
Nicol yang masih segar dengan kekalahan di peringkat suku akhir Kejohanan Skuash Al-Ahram di Cairo minggu lalu, pantas bangkit mengetepikan kecewa tersebut apabila mengambil masa hanya 18 minit menewaskan pemain wildcard tuan rumah itu 11-3, 11-1, 11-3.
Dipetik dari laman web rasmi kejohanan, pemain nombor tiga dunia itu berkata, “Ini adalah penampilan pertama saya di Terbuka Netsuite, ia sesuatu yang istimewa buat saya menuju ke suku akhir. Saya akan kekal dengan game plan saya dan harap dapat terjemahkan ianya dengan baik di atas gelanggang.”
Nicol yang masih memburu gelaran pertamanya bagi musim ini dijadual berdepan pemain pilihan keenam Nour El Tayeb untuk merebut tiket ke separuh akhir – pemain Mesir di ranking ke-12 dunia itu melangkah ke suku akhir setelah menewaskan seorang lagi pemain negara Low Wee Wern 11-3, 9-11, 11-4, 11-1.
Untuk rekod, Malaysia tidak menghantar pemain lelaki ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$150,000 (RM619, 957) ini.