Oleh Muhammad Aiman
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Nafiizwan Adnan buat pertama kalinya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Skuash Terbuka Amerika Syarikat setelah mengejutkan pemain nombor 11 dunia dari Colombia, Miguel Rodriguez.
Dalam aksi pusingan pertama di Universiti Dexel, Philadhelpia, Nafiizwan yang mengharungi dua aksi kelayakan untuk mara ke undian utama mencatat kemenangan 11-9, 11-8, 11-9 dalam masa 67 minit ke atas Miguel yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan.
Lebih manis, kemenangan itu turut menyaksikan Nafiizwan, pemain ranking 33 dunia membalas dendam kekalahan kepada pemain itu di pusingan pertama Terbuka Antarabangsa El Gouna di Mesir pada April lalu.
“Saya menang kerana saya lebih bersedia secara mental. Kemenangan ini menyuntik lagi keyakinan saya untuk tampil dengan permainan lebih baik di pusingan kedua nanti,” ujar pemain berusia 30 tahun itu yang akan berdepan sama ada Steve Coppinger (Afrika Selatan) atau Alan Clyne (Scotland) bagi merebut tempat ke suku akhir.
Sementara itu bagi kategori wanita, Dato’ Nicol David memulakan misi merampas semula kejuaraan yang dimenanginya sebanyak tiga kali dari 2012 – 2014 dengan menewaskan pemain Denmark, Line Hansen 11-3, 11-6, 11-6 dalam masa 30 minit.
Di pusingan kedua, pemain nombor tiga dunia itu akan berdepan Nour El Tayeb yang mara setelah menyingkirkan pemain dari pusingan kelayakan, Fiona Moverley 11-4, 11-8, 14-12.
Untuk rekod, pada tahun lalu cabaran ratu skuash negara itu tersekat di suku akhir setelah tewas kepada pemain England, Laura Massaro yang kemudiannya menjuarai kejohanan dengan menewaskan Nour El Sherbini di final.