Di sebalik mempertaruhkan kelibat ramai muka baru dan masih mentah dari segi pengalaman, pasukan polo air lelaki negara berharap dapat menoktahkan kemarau 12 tahun tanpa pingat di temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, bulan depan.
Ketua pasukan, Khoo Tiong Jinn percaya persefahaman di antara pemain muda dan lama di dalam pasukan semakin bertambah baik justeru melihat ianya sebagai petanda positif untuk mengulangi pencapaian memenangi pingat gangsa di edisi 2005 dan 1991 – kedua-duanya di Filipina.
“Kita akan turun sebagai pasukan bukan pilihan berdasarkan pencapaian di beberapa edisi yang lepas dan itu sedikit sebanyak meredakan tekanan yang digalas pemain muda kerana tiada ekspetasi tinggi diletakkan ke atas mereka.
“Rata-rata mereka akan beraksi buat pertama kali di kejohanan besar seperti Sukan SEA, malah kita juga ada pemain berusia 15 tahun (Thor Yi Siang) jadi sorakan penyokong sendiri pastinya memberikan motivasi terbaik buat kami semua untuk cuba mencipta kejutan.
“Kita bertekad menggunakan kelebihan ini untuk memenangi medal pertama Malaysia selepas begitu lama menunggu dan mengangkat semula martabat pasukan negara dalam sukan polo air,” kata Tiong Jinn.
Ketika di Singapura 2015, pasukan lelaki negara menamatkan cabaran di tempat keempat dari lima pasukan yang mengambil bahagian setelah hanya mencatat satu kemenangan iaitu ke atas Filipina.
Singapura mengekalkan dominasi mereka apabila meraih pingat emas buat kali ke-26 berturut-turut, manakala Indonesia meraih perak dan Thailand pula gangsa.
Sepertimana pasukan lelaki, pasukan polo air wanita juga sekadar menduduki tempat keempat dua tahun lalu di belakang Thailand (emas), Singapura (perak) dan Indonesia (gangsa). Kali terakhir pasukan wanita memenangi medal adalah gangsa pada edisi 2011.
Untuk edisi kali ini, saingan sekali lagi akan membabitkan lima pasukan yang sama iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita ianya membabitkan saingan antara empat pasukan iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Pertandingan akan berlangsung di Pusat Akuatik Kebangsaan di Bandar Sukan Bukit Jalil dari 15-20 Ogos 2017. – OLEH MUHAMMAD AIMAN