Belum tiba Liga Malaysia musim 2020, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menerima tajaan sebanyak 2 juta ringgit daripada syarikat permaidani, Carpet Prima Sendirian Berhad.
Jelas Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, peruntukkan ini akan digunakan bagi pembangunan di peringkat akar umbi dengan harapan N Sembilan mampu melahirkan ramai pemain yang berbakat dalam kalangan anak-anak kelahiran negeri itu.
Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya, di samping memajukan lagi sukan bola sepak di Negeri Sembilan dengan melahirkan ramai pemain yang berbakat dalam kalangan anak-anak Negeri Sembilan.
“Ia akan digunakan sepenuhnya sebaiknya untuk tujuan untuk pembangunan bola sepak negeri sembilan sambil itu kita menggalakkan mana mana lagi pihak yang berminat untuk menaja bola sepak Negeri Sembilan supaya turut sama dengan kita untuk menuju ke arah tersebut memajukan bola sepak negeri sembilan kita dan kembali beraksi di saingan super liga,”kata Tunku Syed Razman.
Tajaan itu disampaikan oleh pemilik Carpet Prima, T. Deepak kepada Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Malah, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan, Ito daripada kumpulan Blues Gang telah bersetuju untuk menghadiahkan sebuah lagu khusus untuk PBNS.
Lagu itu dicipta untuk menyemarakkan semangat para penyokong Negeri Sembilan dalam perlawanan bola sepak akan datang.
Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga merangkap Penasihat PBNS, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau yakin prestasi pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan akan bertambah baik pada saingan Liga Perdana musim hadapan seterusnya kembali beraksi dalam Liga Super.
“Kita boleh meletakkan satu harapan pada tahun hadapan prestasi akan lebih menarik daripada awal hingga akhir dan apa yang menarik pada tahun ini kita melihat persembahan yang ditunjukkan oleh anak buah kita di padang amat mengagumkan walaupun kita tewas tetapi kita nampak kelemahan dia ada sedikit tapi dari segi hasil kesungguhan adalah baik,”kataÂ
Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Perdana musim 2019 ditangga ke enam, berkongsi 29 mata dengan UiTM FC manakala saingan Piala Malaysia, skuad Jang menamatkan saingan kumpulan A ditangga ketiga.