Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian yakin dapat menyambar satu daripada dua slot beraksi di separuh akhir Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia (KPM) B-14 2017.
Pasukan bimbingan Faqhri Sobri itu sedang mendahului pencabar lain dalam saingan Liga Super dengan 20 mata dari sembilan perlawanan dan hanya akan kembali beraksi pada 9 September depan menentang SMK Seberang Temerloh dalam aksi terakhir liga.
Namun, dengan kelebihan hanya dua mata mengatasi Akademi Johor Darul Takzim, SMK Bukit Indah dan empat mata mengatasi pasukan tangga ketiga Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) âAâ B-14 yang masih mempunyai baki tiga perlawanan dalam tangan, kedudukan mereka berpotensi tergugat.
SMK Bukit Indah berpeluang memintas mereka jika dapat menewaskan SSMP âAâ B-13 pada Sabtu ini tetapi Faqhri optimis dengan peluang pasukannya untuk menamatkan cabaran di kedudukan dua teratas setelah gagal melakukannya tahun lalu.
âKita telah mengharungi tiga perlawanan sukar berturut-turut berdepan pasukan di kelompok lima teratas dan menang dua daripadanya, kita masih ada satu perlawanan dan saya pasti pemain akan melakukan yang terbaik. Konsistensi adalah kunci kerana kita akan berehat lebih sebulan selepas ini.
âMasih ada beberapa pasukan yang turut mempunyai peluang, tetapi mereka perlu menang kesemua perlawanan termasuklah SSMP âAâ B-14 dan Bukit Indah sendiri. Jadi peluang tetap terbuka, saya akan gunakan tempoh rehat panjang ini untuk perbaiki kelemahan dan persiapkan pasukan saya sebaiknya,â kata Faqhri.
Faqhri turut menyatakan bahawa pasukannya yang turut dikenali dengan gelaran Black Tigers akan membawa cabaran di Piala Gothia di China â salah satu kejohanan remaja terbesar dunia pada Ogos nanti dan mensasarkan untuk pulang dari sana dengan kejayaan.
Dalam pada itu, pada aksi Sabtu lalu, SMK Mutiara Impian melakar kemenangan keenam musim ini dengan menewaskan SSMP âAâ B-13 menerusi jaringan tunggal Muhamad Mukmin Zamri pada minit ke-9.
SMK Bukit Indah turut mengukuhkan cengkaman di tangga kedua setelah menewaskan SSN Perlis, SMK Syed Hassan 2-1 menerusi dua jaringan Nasrullah Ibrahim pada minit ke-28 dan 41.
Manakala SSMP âAâ B-14 kendalian Effendi Malek pula pertama kali mencicirkan mata apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang SSN Kuala Lumpur, SMK Seri Titiwangsa.
SSMP âAâ B-14 terdahulu berada di depan 2-0 menerusi jaringan Aman Nazri dan Ziad El Basheer sebelum terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah Izzat Irfan menjaringkan dua gol buat SMK Seri Titiwangsa di separuh masa kedua.
Dua pasukan teratas Liga Super dan Liga Perdana akan berentap dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung 23 dan 30 September depan. Â