Reputasi hebat Thailand selaku juara bertahan dan juga juara 15 kali tidak menghadirkan gentar buat Myanmar apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi separuh akhir bolasepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Selayang pada Sabtu.

Meskipun sedar berdepan tugas sukar menentang pasukan bimbingan Worrawoot Srimaka itu, Myanmar tetap percaya mereka ada rencah diperlukan untuk melakar kejutan seterusnya menempah tiket ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.  

“Saya telah menonton beberapa perlawanan Thailand, beberapa perlawanan awal mereka bermain biasa-biasa sahaja namun menunjukkan karakter sebenar mereka ketika menewaskan Vietnam (pada Khamis). Ia aksi yang cukup impresif, saya perlu memberikan kredit kepada mereka.

“Mereka adalah pilihan, mempunyai skuad yang mantap namun di peringkat separuh akhir semuanya adalah seimbang. Kedua-dua pasukan ada peluang sama rata, ianya mengenai siapa yang akan menyambar peluang itu.

“Selagi peluang itu ada, kami akan berikan tentangan yang terbaik walau siapapun lawan yang berada dalam laluan dan kami sudah bersedia melakukannya,” kata Zeise pada sidang media pra perlawanan di PJ Hilton.    

Keyakinan tinggi turut disuarakan ketua pasukan, Aung Kaung Mann yang berpendapat pasukannya mempunyai kelebihan kerana tempoh rehat lebih lama berbanding Thailand.

“Setiap perlawanan berlangsung selang sehari, sukar untuk berada di tahap terbaik. Thailand akan turun beraksi hanya sehari selepas menentang Vietnam, sudah tentunya pemain mereka keletihan dan tidak cergas sepenuhnya.

“Kami pula berehat lima hari selepas perlawanan terakhir menentang Malaysia, sempat jalani pemulihan dan lebih bertenaga, lebih bermotivasi. Kami perlu menggunakan sebaiknya faktor ini,” katanya.

Dua tahun lalu di Singapura, Myanmar mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir setelah mengetepikan Vietnam di separuh akhir namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah tewas kepada Thailand.

Di kem Thailand, penolong jurulatih, Naruephon Kaenson menegaskan pasukan gajah perang itu akan tetap tampil dengan kesebelasan terbaik bagi memburu tempat di final buat kali ketiga berturut-turut walaupun mengakui kecergasan beberapa pemain sedikit terjejas dek jadual padat.

“Kita tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan, ini adalah situasi yang kami harungi sejak hari pertama jadi sepatutnya tiada masalah. Saya yakin menjelang esok, kecergasan pemain lebih baik dan mereka akan bersedia mengalas tanggungjawab dengan baik,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -