Myanmar menutup cabaran mereka dalam saingan bolasepak wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi kemenangan besar 6-0 ke atas Filipina di Stadium Universiti Malaysia, pada Selasa (22 Ogos).
Kemenangan kedua buat Myanmar itu memastikan mereka berkesudahan di tempat ketiga di belakang Thailand dan Vietnam yang mengumpul tujuh mata dan masih mempunyai baki satu perlawanan untuk diharungi.
Ini sekaligus menyaksikan mereka mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.
Pesta gol skuad bimbingan Reijners Roger Johannes Joseph bermula seawal minit keempat menerusi percubaan Khin Moe Wai yang gagal diselamatkan penjaga gol Myanmar, Ruetas Faith Sean.
Tiga minit kemudian, Myanmar sudahpun mendahului 2-0 hasil sentuhan penyudah tonggak penyerang, Win Theingi Tun yang menjaringkan gol keenamnya di temasya KL 2017.
Yee Yee Oo kemudiannya mengukuhkan kelebihan Myanmar dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-19 sebelum Naw Arlo Wer Phaw merembat masuk gol keempat seminit kemudian.
Ketinggalan empat gol dalam tempoh 20 minit pertama, Filipina cuba bangkit dengan memperkemas permainan termasuk melakukan pertukaran penjaga gol dengan mengeluarkan Sean dan memasukkan Palacios Inna Kristianne Beza.
Ia tidak memadai untuk skuad Dimzon Marnelli Salvador kembali dalam saingan tatkala Myanmar meneruskan dominasi dan berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi Moe Wai yang melengkapkan hatriknya pada minit ke-81 dan 90.
Pingat emas untuk acara bolasepak wanita akan ditentukan oleh Thailand dan Vietnam. Thailand yang merupakan juara bertahan akan menentang Filipina manakala Vietnam berdepan Malaysia dalam aksi terakhir pada Khamis (24 Ogos) ini.
Jurulatih Myanmar, Reijners Rogers :
Kami datang dengan sasaran tinggi mahu memenangi emas, tetapi menang gangsa tidaklah mengecewakan. Saya tetap berpuas hati kerana dari empat perlawanan kami tewas kepada dua pasukan pilihan.
Perlawanan menentang Malaysia dan Filipina kami mencipta peluang dan menjaringkan gol tetapi saya perlu akui bahawa setiap pasukan tunjukkan peningkatan, kemenangan besar bukan ukuran. Saya percaya jika kami dapat untuk menewaskan pasukan seperti Thailand dan Vietnam maka kami boleh menjadi kuasa besar bolasepak wanita rantau ini.
Jurulatih Filipina, Dimzon Salvador :
Gol awal menyentap motivasi pemain, mereka gagal bangkit selepas gol itu dan ketinggalan 4-0 hanya selepas 20 minit, sudah tiada apa yang boleh dilakukan. Kami gagal untuk menyaingi stamina pemain Myanmar, nampak gugup bila mendapat bola dan melakukan hantaran yang tidak menjadi.
Jadi kami akur untuk tewas kepada Myanmar yang bermain lebih baik. Sekarang apa yang tinggal perjuangan demi maruah dan kami akan cuba tamatkan saingan dengan berikan prestasi sebaik mungkin menentang Thailand.
– OLEH MUHAMMAD AIMAN