Oleh Muhammad Aiman
Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) membuat keputusan menggantung khidmat setiausaha agongnya, Mohd Nor Kassim berkuatkuasa serta merta atas sebab salah laku dan penyelewengan wang persatuan.
Presiden NAAM, Mohamad Yazid Yahya berkata Mesyuarat Ahli Jawatankuasa menggantung Mohd Nor sehingga beliau dapat menjelaskan mengenai salah laku tersebut, dalam masa sama satu laporan polis juga telah dibuat agar perkara itu disiasat.
“Semasa pembentangan penyata kewangan di Mesyuarat Agong Tahunan NAAM pada 5 Mei lalu, saya telah membantah kerana terdapat tandatangan saya dipalsukan dan akaun tersebut tidak teratur, malah tiada kelulusan dari AJK Induk.
“Mohd Nor mengaku telah memalsukan tandatangan saya di dokumen tersebut untuk memperdaya mesyuarat. Saya mengesyaki ada penyelewengan berlaku kerana laporan kewangan yang dibentangkan adalah tidak lengkap, dan menunjukkan ada perbelanjaan yang tidak mendapat kelulusan AJK Induk,” kata Yazid.
Yazid turut memaklumkan bahawa tugas setiausaha agong NAAM akan dipangku oleh setiausaha Persatuan Memanah Sarawak, Louis Simon sehingga berlangsungnya AGM NAAM yang baru pada 12 Ogos depan.
Kemelut yang melanda NAAM bermula setelah Pejabat Pesuruhjaya Sukan mengarahkan agar AGM persatuan itu bertarikh 5 Mei 2016 diadakan semula dalam tempoh 60 hari berikutan adanya usul undi tidak percaya serta bantahan dari perwakilan.