akash.nabil

akash.nabil.5

Oleh Ku Mohd Lufti

Dua pelumba sukan permotoran negara, Nabil Jeffri dan Akash Neil Nandy selangkah ke hadapan apabila bakal beraksi dalam saingan perlumbaan sokongan Formula Satu (F1), GP2 dan GP3 musim ini.

Nabil akan beraksi untuk saingan GP2 memandu untuk pasukan Arden International sementara Akash yang beraksi untuk GP 3, akan berlumba bersama pasukan Janzer Motorsport.

Mengakui saingan bukan mudah untuk GP 2, Nabil yang berusia 22 tahun itu akan memastikan persiapan yang rapi sebelum turun beraksi kerana keadaan perlumbaan berbeza berbanding Formula Three Jerman.

Meskipun masih muda dalam kategori ini, Nabil tetap meletakkan sasaran untuk berada di tiga pelumba baharu (rookie) terbaik.

“Perlumbaan ini membariskan ramai pelumba berpengalaman yang sudah beraksi dua atau tiga tahun tetapi saya berjanji akan memberikan aksi terbaik dan bekerja keras untuk menjadi antara tiga pelumba baharu terbaik perlumbaan GP2,” kata Nabil.

Nabil dan Akash diperkenalkan sebagai pemandu dalam saingan GP2 dan GP3 di ibu negara.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

Pelumba yang akan beraksi di GP3, Akash, berkata, dia sudah bersedia selepas menjalani beberapa ujian pra musim dan pasukannya, Jenzer Motorsport sentiasa bekerja keras untuk memastikan jenteranya pada tahap terbaik bagi aksi musim ini.

“Sasaran kami musim ini ialah meraih mata sebanyak mungkin dan saya mahu mengharumkan nama negara sebelum memperoleh lesen untuk beraksi di F1 pada masa akan datang,” kata Akash.

Pelumba berusia 19 tahun ini pernah menduduki tempat ketiga keseluruhan Formula Masters China pada 2013.

Kedua-dua pelumba ini akan memulakan aksi pada perlumbaan pertama 13 Mei depan di Barcelona, Sepanyol, dengan GP2 membabitkan 11 pusingan, manakala GP3 pula sembilan pusingan.

- Advertisement -