Bersempena dengan ulangtahun ke 10, saluran berita sukan terkemuka tanah air, Astro Arena mengorak langkah untuk memastikan peminat sukan tanah air terus dipadatkan dengan berita, isu semasa sukan samada dalam mahupun luar negara.
Menerusi buletin sukan terkemuka, Nadi Arena akan bersiaran secara langsung selama satu jam bermula 6 Julai depan dengan liputan berita yang lebih komprehensif dan menyeluruh.
Jelas Ketua Kandungan Sukan Astro, Nicholas John, bersempena dengan sambutan hari Wartawan Sukan Sedunia yang jatuh pada hari ini, ia merupakan detik bermakna buat ahli keluarga Astro Arena untuk terus mengorak langkah sebagai saluran berita sukan terbaik Malaysia.
“Sebelum ini kami hanya bersiaran pada jam 7.30 malam setiap hari secara langsung, kini Nadi Arena akan bersiaran selama 60 minit dimana bukan sahaja melibatkan isu isu semasa, kami akan memperincikan lagi laporan daripada wartawan denga lebih mendalam,”kata Nicholas John.
Ahmed Sharazad Sani dan Bazly Azmi antara pelopor utama di Astro Arena sejak ia ditubuhkan akan memastikan setiap sudut cerita suka dan duka melibatkan atlet dan wira wira sukan negara diceritakan untuk peminat sukan tanah air.
“Bermula pada 2010 dengan hanya kumpulan yang kecil sehingga kini, kami telah melakukan liputan melibatkan sukan sukan terbesar dunia termasuklah sukan olimpik dan bolasepak Piala Dunia.
“Kami mahu memberi peluang kepada penonton untuk mengikuti cerita disebalik tabir yang mungkin tidak ramai tahu tentang perit jerih yang perlu dilalui oleh atlet,”kata Bazly
Sharazad Sani berkata,”Nadi Arena bukan sekadar laporan berita semata mata, tetapi akan turut menterjemahkan emosi yang dikongsi oleh para atlet khususnya.”
Tambah Nicholas, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa pada Mac, keluarga Astro Arena mengerah kudrat dan idea untuk memastikan peminat sukan tempatan tidak ketinggalan melibatkan isu isu semasa sukan tanah air dan antarabangsa.
“Kami akan memastikan perkembangan semasa sukan dalam dan luar negara diraikan 24 jam sehari secara ringkas menerusi platform media sosial manakala liputan penuh boleh anda ikuti ketika siaran langsung di Nadi Arena bermula jam 7.30 malam,”kata Nicholas lagi.