Pertahanan serba boleh yang semakin meningkat naik di Selangor, Mohd Ashmawi Yakin, berasakan The Red Giants seperti mendapat satu tonik yang sangat ampuh bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 dengan kehadiran pengendali berpengalaman dari Jerman, Karsten Neitzel.
Justeru, dia mengharapkan tahun keempatnya di Selangor pada musim depan akan meletakkan The Red Giants di satu dimensi yang berbeza serta mampu menghadirkan kejuaraan sulung dalam kariernya sepanjang di sana.
Mengakui sudah melalui pelbagai fasa berbeza di Selangor sebelum ini, Ashmawi melihat dengan jangkaan kehadiran beberapa pemain import baharu selain pemain tempatan berpengalaman dan berbakat , mereka ada keupayaan melangkah lebih jauh dalam apa jua pertandingan.
” Dalam dunia bola sepak, lumrah bagi setiap pemain datang dan pergi untuk sesebuah pasukan dan Alhamdulillah rezeki untuk musim 2021 masih dengan pasukan Selangor. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih kerana masih percaya dengan khidmat saya.
” Di bawah pengendali baru untuk tahun hadapan, saya pasti akan ada banyak pembaharuan yang dibawa oleh jurulatih Michael dan Karsten dan saya berharap pasukan dapat memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
” Karsten Neitzel masih baru lagi berada di Malaysia dan jika rezeki dapat membawa satu piala, saya pasti bersyukur kerana telah lama bersama pasukan.
” Namun jika tidak, saya harap Selangor mampu buktikan yang terbaik berbanding musim-musim sebelum ini kerana kami di Selangor amat dahagakan kejayaan, ” katanya.
Neitzel pernah bertindak selaku penolong jurulatih di dua kelab Jerman, VfL Bochum dan SC Freiburg serta kelab terkemuka Jepun, Urawa Reds.
Ashmawi yang berasal Seremban adalah produk skuad Harimau Muda dan pernah menjadi anggota skuad Bawah 19 dan 23 tahun serta memulakan karier profesional pertamanya di Negeri Sembilan pada 2016.
Dia menyertai Selangor pada 2018 ketika di bawah kendalian Nazliazmi Nasir dan boleh beraksi di posisi pertahanan kiri serta kanan.
Dalam pada itu, Ashmawi mengakui dia selesa diletakkan sama ada di mana-mana posisi pertahanan sama ada kiri,kanan atau tengah walaupun pada awal penglibatannya dengan bola sepak, dia banyak beraksi selaku pemain pertahanan tengah.
” Kebiasaannya saya akan bermain di posisi pertahanan tengah namun tahun ini saya diberi peluang bermain di kedua-dua posisi kiri dan kanan.
“Pada saya mana-mana posisi pun tidak menjadi masalah kerana saya selesa main di ketiga-tiga tempat dan akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk berikan yang terbaik kepada pasukan, ” katanya.
Sebagai rekod, Ashmawi banyak diletakkan di posisi pertahanan kiri dalam kesebelasan utama pada musim ini.