Oleh Muhammad Aiman
Tiada khabar gembira sempena Hari Kemerdekaan buat Malaysia dari bumi Shanghai apabila pemain perseorangan lelaki, Nafiizwan Adnan dan perseorangan wanita, Low Wee Wern kedua-duanya gagal meneruskan kemaraan ke undian utama Kejohanan Skuash Terbuka China.
Nafiizwan pemain nombor 33 dunia, seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mensesiakan peluang meneruskan kemaraan di sebalik dua kali mendahului pemain Mexico di ranking ke-27 dunia, Cesar Salazar dalam aksi kelayakan kedua.
Nafiizwan mendahului 1-0 dan 2-1 sebelum akhirnya tunduk 13-11, 10-12, 11-8, 9-11 dan 7-11 sekaligus menjadi kekecewaan kedua buatnya dalam tempoh seminggu setelah gagal melepasi halangan pusingan awal di Terbuka Hong Kong minggu lalu.
“Ianya sangat-sangat mengecewakan untuk tewas seperti ini. Saya sudahpun berada di game-point dan sepatutnya menang set kedua tapi tidak memanfaatkannya. Peluang seperti ini tidak selalunya datang, saya kecewa dengan diri sendiri,” ujar Nafiizwan.
Bekas pemain nombor lima dunia, Wee Wern pula yang merupakan juara 2011, 2012 dan 2014 terpaksa akur dengan kehebatan pemain Hong Kong Joey Chan.
Wee Wern yang mengambil masa lebih 80 minit untuk menewaskan Fiona Moverley dari England di pusingan kelayakan pertama cuba menterjemahkan kebangkitan setelah tewas dua set pertama namun ianya tidak memadai untuknya menghalang Joey meneruskan langkahan menerusi kemenangan 11-8, 11-5, 9-11 dan 11-8 dalam masa 47 minit.
“Saya tidak cukup tajam, saya perlukan lebih banyak perlawanan untuk meningkatkan kualiti permainan saya. Semua pemain telah menunjukkan peningkatan dalam tempoh 15 bulan saya tersisih kerana kecederaan. Ada banyak lagi yang perlu saya lakukan untuk kembali ke prestasi terbaik,” ujar pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang tersisih hampir keseluruhan musim lalu kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Dengan tersingkirnya Nafiizwan dan Wee Wern, cabaran Malaysia di undian utama Terbuka China kini digalas wakil tunggal yang juga pemain nombor dua kebangsaan, Delia Arnold yang akan berdepan pemain New Zealand Joelle King dalam aksi pusingan pertama pada Khamis.