Oleh Muhammad Aiman
Kali terakhir Mohd Nafiizwan Adnan bertandang ke Hong Kong pada Mei lalu, pemain skuash nombor satu negara itu pulang dengan memenangi gelaran terbesar dalam kariernya, Kejuaraan Antarabangsa HKFC setelah menundukkan Paul Coll dari New Zealand di perlawanan akhir.
Kali ini, pemain berusia 30 tahun itu yang baru sahaja pulang dari menyertai Kejohanan Beregu Antarabangsa Dunia di Australia minggu lalu, mengharapkan tuah bumi Hong Kong akan menyebelahinya sekali lagi apabila membawa cabaran di Kejohanan Terbuka Hong Kong bermula Ahad.
āSaya telah menunjukkan aksi positif di kejuaraan beregu dunia dan sempat berlatih, belajar dengan beberapa pemain terbaik Jelajah Persatuan Skuash Profesional. Jadi persiapan saya berada di landasan yang baik.
āSaya harap boleh terjemahkan segala apa yang dipelajari di atas gelanggang nanti, dan bermain tanpa tekanan untuk cuba melangkah sejauh mungkin. Saya ada kenangan manis di Hong Kong dan mahu cuba ulangi detik itu walaupun ianya pasti lebih sukar kali ini dengan kehadiran pemain-pemain utama,ā ujar pemain di ranking 33 dunia itu.
Nafiizwan yang akan memulakan kejohanan dari pusingan kelayakan, bakal berdepan wakil tuan rumah Chris Lo dan pemenang akan berdepan pula sama ada pemain Finland Olli Tuominen atau pemain Mesir Shehab Essam untuk mara ke undian utama.
Pemain nombor dua negara, Ivan Yuen pula akan turun menentang seorang lagi wakil tuan rumah, Lau Tsz Kwan di pusingan kelayakan.
Sementara itu bagi kategori wanita, Low Wee Wern diundi berdepan pemain nombor satu Jepun, Misaki Kobayashi dalam pusingan kelayakan dan pemenang akan berdepan sama ada pemain England Millie Tomlinson atau pemain Afrika Selatan, Siyoli Waters bagi merebut tempat di undian utama.
Hanya pemain nombor tiga dunia yang juga juara bertahan, Datoā Nicol Ann David merupakan wakil tunggal negara di undian utama ā Nicol yang mencari gelaran ke-12 dijangka tidak bermasalah melepasi pusingan pertama untuk berdepan Joelle King dari New Zealand di pusingan kedua.