Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak akan pernah lupa jasa jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti yang banyak membantunya untuk berada di tahap ini sehingga berjaya mengemudi pasukan sekali gus menamatkan saingan CIMB Liga Super 2020 di tangga ketiga.

Musim 2020 merupakan tahun pertama Nafuzi menjadi ketua jurulatih sambil menyifatkan ia adalah tugas yang cukup mencabar apatah lagi disebalik cabaran mengharungi Liga Malaysia dalam situasi pandemik COVID-19.

Namun, beliau menganggap semua ini tidak akan berhasil tanpa jasa dan tunjuk ajar Irfan selama mereka bekerjasama bermula tahun 2017 sehingga 2019 di mana ketika itu Nafuzi memegang jawatan selaku penolong jurulatih Terengganu FC sebelum mengambil alih posisi Irfan sebagai ketua jurulatih pada pertengahan musim 2019.

Jelasnya, kredibiliti Irfan selaku ketua jurulatih sebelum ini wajar dipuji dan tidak pernah lokek membantunya dalam sama-sama mengemudi pasukan sehinggalah Nafuzi akhirnya diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk terus bersama TFC pada musim ini.

“Apa yang saya ada sekarang ini, semuanya bermula daripada Irfan di mana perjalanan karier saya daripada Liga Premier sehingga TFC layak ke Liga Super pada tahun 2018, saya bersama-sama dengan beliau.

“Semua ini adalah jasa dan budi Irfan selama saya menjadi penolong jurulatih dengannya sejak 2017 sehingga beliau letak jawatan pada pertengahan 2019 dan beliaulah yang membawa saya ke kancah Liga Super sebelum ini.

“Sebelum beliau meletak jawatan, Irfan percaya saya akan mampu untuk menjaga pasukan ini dan daripada situlah saya terus mendapat peluang untuk mengemudi pasukan sebagai ketua jurulatih.

“Jadi, saya gunakan peluang sebaik mungkin untuk bantu pasukan berada di tahap lebih baik musim ini, dan saya rasa kalau Irfan tidak beri peluang kepada saya untuk bekerjasama dengannya bermula tahun 2017, saya mungkin tidak akan ke mana”, jelasnya.

Menjelang TM Piala Malaysia yang akan bermula pada 6, 7 dan 8 November depan, jurulatih berusia 42 tahun ini tidak menolak undian yang akan berlangsung pada Ahad ini juga akan memainkan peranan penting untuk menentukan laluan mereka dalam saingan itu nanti.

Sudah pasti, TFC dalam misi untuk mara lebih jauh dan tidak mustahil dengan usaha lebih keras, mereka mampu untuk mengulangi aura final sekali lagi seperti mana dua tahun lalu ketika berdepan Perak.

“Memang undian itu nanti akan jadi peranan penting untuk kita tengok nanti macam mana lawan yang kita akan beraksi nanti pada perlawanan untuk menentukan pasukan ke suku akhir.

“Tiada pusingan peringkat kumpulan, jadi mahu atau tidak, perlawanan pertama itu sangat penting dan selepas kita tahu siapa akan jadi lawan kita nanti, barulah saya boleh merancang dengan lebih baik kerana sudah tentu kita juga akan tahu corak perlawanan yang akan ditampilkan oleh lawan itu,” jelasnya.

- Advertisement -