Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, PBSNT mengesahkan pemangku ketua jurulatih Terengganu FC, Muhamad Nafuzi Zain dilantik sebagai pengendali tetap TFC bagi saingan musim 2020.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar turut mengesahkan jurulatih TFC Empat, Rusdi Sulong yang cemerlang membawa skuadnya menjuarai Piala Belia 2019 baharu-baharu ini, dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad TFC
Nafuzi dan Rusdi merupakan bekas pemain skuad Sang Penyu dan pernah bersama sama merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2001.
‘Pihak pengurusan bersetuju pada asalnya untuk melantik Muhamad Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC manakala Roshadi Wahad sebagai jurulatih Terengganu FC II, Mohd Badrul Hafzan Razali, Terengganu FC III,’kata Ahmad Samsuri
Pengumuman dibuat pada sidang media selepas Mesyuarat Kongress tahunan PBSNT bersama ahli jawatankuasa dan perwakilan sembilan ahli gabungan serta pemerhati terdiri, para penaja di Kuala Terengganu.
‘Mungkin ada komen komen yang menyebut mengenai cabaran yang akan dihadapi apabila jurulatih tempatan digunakan dan sebagainya. Pada saya, inilah cabaran yang ingin kita sambut bahawa sebenarnya anak anak kita, anak negeri mampu untuk menjadi yang terbaik dan kita perlu bermula,’katanya lagi
Melalui pendekatan ini Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri percaya, perbelanjaan PBSNT dapat dijimatkan diantara 20 hingga 30 peratus, kesan daripada faktor rombakan pemain pasukan utama, iaitu hampir 50 hingga 60 dibarisi muka-muka baharu.
Selain hampir 70 hingga 80 peratus pemain berasal Terengganu dalam skuad utama dikekalkan, ataupun dinaikkan dari bawah.
Manakala dua pemain import TFC musim ini, Lee Andrew Tuck dan Sanjar Shaakhmedov dikekalkan, bersama tiga kuota pemain import termasuk satu dari rantau Asia Tenggara yang masih belum diumumkan namanya.
Dlama pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memaklum pasukan TFC bakal beraksi semula di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada musim hadapan sebagai gelanggang rasminya.
Keputusan itu dibuat selepas kerja-kerja menaiktaraf padang dilaksanakan pada tahun ini selesai, melibatkan peruntukkan satu juta ringgit disalurkan Liga Bola Sepak Malaysia-MFL, sebagai salah satu projek perintis dibawah program penukaran padang.