Persatuan Bolasepak Perlis yang sedang rancak memborong nama-nama besar dan berprofil tinggi arena bolasepak tempatan bagi memperkuatkan pasukan musim depan nampaknya belum mahu menekan butang berhenti.
Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit mengesahkan mereka sedang berusaha untuk membawa bekas penyerang kebangsaan yang juga penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, Safee Sali serta bekas kapten Kelantan Badhri Radzi ke bumi Kangar.
Selain daripada berusaha memancing kedua-dua bekas pemain kebangsaan tersebut, Datuk Ahmad Amizal Shaifit turut mengesahkan mereka telah berjaya mendapatkan khidmat empat bekas pemain kebangsaan iaitu Azmi Muslim, Amirizdwan Taj Tajuddin, Khyril Muhaimin Zambri dan Azmizi Azmi.
Turut menyertai revolusi besar-besaran skuad kuning biru itu adalah bekas tonggak treble Kelantan Abdul Aziz Ismail, Faizwan Abdullah (MPKB Bri-Ubes), Shukor Azmi, Syamin Baharudin, Syazani Mat Puat (PKNP FC), Syazwan Roslan (Kuantan FA), Fakhrullah Rosli, Hafizi Amirudin (MOF FC), Fikri Che Soh (Kelantan) dan ramai lagi.
PFA di bawah teraju Ahmad Amizal Shaifit juga bercadang mewujudkan sebuah pasukan simpanan, sepertimana dilaksanakan Johor Darul Takzim dan Terengganu FC di mana ketua jurulatihnya adalah Hamizar Hamzah.
Sebagai rekod, Perlis layak ke Liga Premier pada 2016 setelah muncul naib juara Liga FAM pada 2015 namun hanya semusim bertahan menyaksikan mereka kembali tersingkir ke saingan Divisyen Tiga itu dan pada musim ini tidak menunjukkan prestasi yang baik apabila sekadar menjadi pelengkap saingan.
Lebih teruk mereka dibelenggu masalah kewangan kritikal sehingga gaji tidak dibayar lebih dari lima bulan dan sehingga kini dilaporkan masih belum menjelaskan tunggakan gaji dan pampasan kepada bekas pemain.
Justeru itu, adalah menjadi tanda tanya apakah mereka akan dibenarkan beraksi musim depan tatkala hutang mencecah berjuta-juta belum lagi dilunaskan. MUHD AIMANÂ