sivasangari

Oleh Muhammad Aiman

Pemain negara, Ng Eain Yow hanya selangkah sahaja lagi untuk merealisasikan impian besarnya untuk bergelar juara remaja dunia, apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Skuash Remaja Dunia di Poland setelah menundukkan pemain Mesir Youseff Ibrahim di separuh akhir.

Eain Yow yang tunduk di separuh akhir pada edisi tahun lalu, nyata membara mahu menebus kecewa tersebut dan tampil dengan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan empat set ke atas Youseff 13-11, 12-10, 6-11, 11-8.

Kemenangan tersebut menyaksikan pemain berusia 18 tahun itu muncul hanya pemain ketiga negara untuk mara ke final selepas Ong Beng Hee melakukannya pada 1998 dan Ivan Yuen pada 2009.

Eain Yow akan berdepan pilihan utama kejohanan, Saadeldin Abouaish dari Mesir di perlawanan akhir pada Khamis, dengan membawa misi mengulangi pencapaian Beng Hee menjuarai kejohanan itu 18 tahun lalu di Amerika Syarikat.

Saadeldin mara ke final setelah menewaskan pemain Pakistan, Israr Ahmed 11-5, 5-11, 11-6 dan 11-1.

Dalam pada itu, berbeza ceritanya bagi kategori wanita apabila wakil tunggal negara S.Sivasangari gagal meneruskan langkahan cemerlangnya, tunduk di separuh akhir kepada pemain Mesir, Nouran El Gohar.

Pemain berusia 17 tahun dari Kedah itu nyata bukan tandingan buat Nouran, pemain nombor lima dunia yang unggul mencatat mencatat kemenangan 11-4, 11-6, 11-5  dalam masa 30 minit di Bielsko-Biala.

Pemain di ranking ke-64 dunia bagaimanapun punya sebab untuk berbangga dengan pencapaiannya apatah lagi dia mencatat kejutan dengan bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain ranking ke-39 dunia, Amina Yousry di suku akhir, sekaligus menjadikannya pemain wanita pertama negara mara ke kelompok empat terbaik sejak Dato’ Nicol David melakukannya pada 2001.

Prestasi mengagumkan ditunjukkan Sivasangari, pantas mendapat kredit dari jurulatihnya, Beng Hee, “Selama sembilan bulan dia berlatih di bawah saya, dia menunjukkan peningkatan hebat hingga meletakkan dirinya di nombor empat kebangsaan.

“Saya mula dengan usaha memperbaiki teknik hayunannya pada awal tahun ini dan ia menampakkan hasil dalam tempoh enam bulan ini. Banyak lagi ruang untuk penambahbaikkan, dia begitu membara mahu mencapai kejayaan yang lebih besar, dan mengintai kedudukan di 50 terbaik dunia.

“Untuk dia layak sehingga ke peringkat separuh akhir kejohanan remaja dunia, adalah satu permulaan dalam perjalanan kariernya. Kami mahu membantu dia untuk membina satu karier senior yang bergemerlapan, bukan hanya tumpukan pada keputusan di peringkat remaja,” ujar Beng Hee.

- Advertisement -