Oleh Muhammad Aiman
Dua wakil negara dalam saingan Piala AFC – Johor Darul Takzim dan Felda United mengalami nasib berbeza dalam aksi kelima peringkat kumpulan masing-masing yang berlangsung Rabu.
Tatkala JDT, juara 2015 mencatat kemenangan mudah 3-0 ke atas Beoungket Angkor FC dan kembali menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir, Felda United pula kecundang 1-3 di laman sendiri kepada kelab Singapura, Tampines Rovers.
Bermain di gelanggang lawan di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh, pengendali JDT melakukan percaturan berani dengan merehatkan ramai pemain tonggak selain menghadiahkan kap sulung buat penjaga gol muda Haziq Nazli dan Dominic Tan.
Walaupun begitu, Harimau Selatan masih terlalu kuat untuk disaingi wakil Kemboja itu dan berhasil mendahului seawal minit kelapan menerusi sentuhan Safawi Rasid.
Pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor kemudiannya menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-26 hasil sepakan lambung cantik menewaskan Sou Yaty di gawang tuan rumah.
JDT mendominasi sebahagian besar permainan dan pemain sayap, Azamudin Akil berpeluang menjadikan kedudukan 3-0 di minit akhir babak pertama namun sepakan penaltinya digagalkan Yaty.
Setelah aksi seimbang di separuh masa kedua, pemain gantian, Gabriel Guerra melengkapkan kemenangan buat skuad Benjamin Mora pada minit akhir permainan.
Kemenangan menyaksikan JDT kekal di tangga kedua Kumpulan F dengan 10 mata, dua mata di belakang Global FC dari Filipina yang mengukuhkan cengkaman setelah menewaskan kelab Myanmar, Magwe FC 4-2.
Saingan Piala AFC kali ini memperkenalkan sedikit kelainan di mana hanya tiga juara Zon Asean dan satu pasukan naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir. Ini bermakna Beoungket (4 mata) dan Magwe (2 mata) sudahpun tersisih dari pemburuan tiket separuh akhir.
Detik penentuan buat JDT adalah apabila mereka berdepan Magwe FC dalam aksi terakhir kumpulan pada 3 Mei, hari yang sama Global berdepan Beoungket. Seandainya gagal menjuarai kumpulan, JDT perlu mengharapkan mereka dapat mengakhiri cabaran sebagai pasukan tangga kedua terbaik dari zon Asean.
Dalam pada itu, Felda United bimbingan B.Sathianathan pula terpaksa melupakan hasrat meneruskan cabaran setelah kekalahan terbaru ini menyaksikan mereka terperosok ke tangga tercorot Kumpulan G dengan hanya lima mata.
Meskipun Norshahrul Idlan Talaha berjaya mengikat kedudukan 1-1 di awal separuh masa kedua, memadam kelebihan Tampines yang berada di depan hasil jaringan Ivan Dzonis pada minit ke-29, mereka gagal untuk mengekalkan momentum sebaliknya pemain gantian pasukan pelawat Khairul Amri muncul wira dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-68 dan 72.
Tampines melonjak ke tangga ketiga dengan enam mata manakala Ceres FC dari Filipina mengungguli kedudukan kumpulan setelah membelasah Hanoi 6-2. Kedua-dua pasukan mengumpul lapan mata dengan perbezaan jaringan menjadi pemisah.
Felda akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan menentang Hanoi pada 3 Mei, di Stadium My Dinh manakala Ceres berdepan Tampines. Â