Yang ada dibuang, yang datang mungkin tidak kekal lama. Itulah padahnya apabila persatuan diuruskan oleh mereka yang tidak ada ilmu bolasepak dan sentiasa bersikap ‘bodoh sombong’.
Kelantan diketahui dihimpit pelbagai deretan isu luar padang, dan satu lagi isu terbaru yang sedang membelenggu kem mereka adalah kecederaan dialami pemain import yang baru dibawa masuk di jendela perpindahan kedua pada bulan lalu, Lazarus Kaimbi.
Pemain dari Namibia itu yang membuat penampilan sulung ketika menentang Kedah pada 5 Jun lalu diberitakan mengalami kecederaan buku lali dan dijangka tersisih selama beberapa minggu pada ketika khidmatnya sangatlah diperlukan The Red Warriors yang sedang berjuang untuk kekal dalam Liga Super.
Selama mana pemain itu akan tersisih belum dapat disahkan, namun sudah tentu ia satu tamparan hebat buat pasukan yang cukup teruk dipalit kontroversi ini.
Lazarus sememangnya diketahui sebagai “injury-prone” malah sebelum ini pernah ‘direject’ oleh Pulau Pinang kerana gagal ujian perubatan, namun peliknya dia berjaya pula melekat bersama Kelantan.
Sikap terburu-buru Persatuan Bolasepak Kelantan yang tidak teliti dan mengambil import tangkap muat nyata sekadar membuktikan lagi betapa mereka begitu senang diperbodohkan ejen yang sekadar mahu menjual pemain mereka.
Memperkuatkan hakikat itu adalah penyingkiran Alaedine Bouslimi yang hanya sempat beraksi dua perlawanan. Ketika dibawa masuk, dia dilabel antara import muda terbaik Asia yang kononnya mempunyai segala kriteria untuk menjadi jantung pertahanan namun gagal menepati harapan tinggi yang diletakkan dan sekadar indah khabar dari rupa.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan pemain itu disisihkan kerana faktor prestasi.
Kini, datang pula seorang lagi penyerang baru iaitu Cristiano Marcolino Santos yang diharap dapat memberi solusi kepada masalah ketumpulan penyudah Kelantan. Dia sudah mula menjalani latihan bersama Kelantan pada Sabtu dan dijangka boleh diturunkan apabila pasukan itu berdepan PKNS FC pada Selasa ini di Kota Bharu.
Sentuhan pemain dari Brazil ini sangatlah diperlukan di barisan depan Kelantan yang dilihat tidak cukup menyengat dan kekurangan pengalaman namun sejauh manakah dia akan dapat menyerlahkan kredibilitinya. Adakah dia akan dapat membantu pasukan untuk berjuang gah mengelak penyingkiran ke Liga Premier atau menjadi satu lagi pembelian yang gagal?
Melihat kepada semua kemelut ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan nasib Kelantan ibarat ‘sudah jatuh, digilis treler’. – OLEH MUHAMMAD AIMAN