Oleh Muhammad Aiman
Persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi dua aksi persahabatan menentang Singapura dan Afghanistan pada bulan depan sekali lagi terganggu, apabila tiga pemain Johor Darul Takzim II yang baru menyertai latihan pusat semalam dipanggil pulang oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).
Zaquan Adha Abdul Radzak, Darren Lok dan Irfan Fazail serta merta meninggalkan padang latihan pada Rabu setelah PBNJ menerusi surat yang dihantar kepada FAM, menyatakan badan induk itu melanggar peraturan ditetapkan FIFA di mana pemain yang dipanggil ke latihan pusat skuad kebangsaan untuk sebarang aksi antarabangsa mestilah empat hari sebelum perlawanan.
Justeru, PBNJ menegaskan bahawa mereka hanya akan melepaskan tiga pemain itu empat hari sebelum aksi menentang Singapura pada 7 Oktober depan dan pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee berkata dia terpaksa akur dengan keputusan itu.
“Saya diberitahu semalam mereka diarahkan pulang, dan kita menerima surat dari PBNJ hari ini mengatakan mereka hanya akan dilepaskan empat hari sebelum perlawanan. Kita menghormati peraturan FIFA dan saya berharap semua tiga pemain ini akan melapor diri sebelum perlawanan menentang Singapura.
“Pasukan mempunyai hak mahu melepaskan pemain mereka atau sebaliknya, saya fikir jika dapat kumpulkan mereka lebih awal ia akan bantu persiapan yang lebih baik,” ujar Kim Swee yang membuat keputusan memanggil Nasir Basharudin (Perak) dan penyerang Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha bagi meneruskan latihan dengan baki 10 pemain yang ada.
Hanya 13 daripada 25 pemain yang disenaraikan melapor diri pada Selasa dengan pemain-pemain dari Kedah, PDRM, T-Team dan Selangor yang terlibat dengan separuh akhir Piala Malaysia, serta pemain JDT yang terlibat dengan separuh akhir Piala AFC kesemuanya akan melapor diri hujung minggu ini.
Untuk rekod, kem latihan pusat ini adalah yang terakhir buat Kim Swee untuk menilai keupayaan barisan pemainnya sebelum dia menamakan pemain bagi fasa latihan terakhir bagi menghadapi Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung di Myanmar dan Filipina pada November depan.