Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa merangkul kejuaraan keduanya di pentas Eropah dalam tempoh enam hari apabila menjuarai Kejohanan Memorial Cansino di Castello, Sepanyol pada Selasa.
Nauraj melakukan lompatan setinggi 2.21m, sekali lagi mengatasi rakan sepelatihnya dari Australia, Brando Starc yang memberikan tentangan sengit sekaligus mengulangi kejayaan dilakar di Cabaran Olahraga Antarabangsa Catalunya di Barcelona pada 29 Jun lalu.
Ini adalah kejuaraan keempat Nauraj tahun ini setelah turut mengungguli Grand Prix Canberra dan Terbuka Singapura – kedua-duanya pada pada bulan April lalu sekaligus beroleh tonik terbaik menjelang Kejohanan Olahraga Dunia IAAF di London pada 4 Ogos nanti.
Nauraj yang layak secara merit beraksi di Kejohanan Dunia setelah menjuarai Terbuka Singapura dengan rekod kebangsaan baru 2.30m selepas ini akan beraksi dalam dua lagi kejohanan Eropah di Jerman sebagai persiapan terakhir ke London.
Kemudiannya atlet kelahiran Johor ini akan beraksi pula di Sukan SEA di mana dia memburu hatrik pingat emas di Kuala Lumpur pada Ogos nanti. Untuk rekod, Nauraj memenangi pingat emas di Myanmar 2013 dengan catatan 2.17m dan mengekalkan emas ketika di Singapura dengan catatan 2.13m.
Dia adalah salah seorang daripada tiga sandaran ‘wajib emas’ oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selain Irfan Shamsudin (lempar cakera) dan Hakimi Ismail (lompat kijang).
Untuk edisi kali ini, olahraga diletakkan harapan tinggi untuk menyerlah terutamanya dengan peningkatan ditunjukkan barisan atlet terutamanya dalam acara pecut dan trek. – OLEH MUHAMMAD AIMAN