Oleh Muhammad Aiman
Karier atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa terus bergemerlapan apabila dia dijemput bertanding di Kejohanan Antarabangsa Hochsprung di Eberstadt, Jerman yang menghimpunkan jaguh lompat tinggi terbaik dunia pada Ahad ini.
Atlet berusia 24 tahun itu yang ketika ini dalam persiapan untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro bulan depan, bakal beroleh peluang menguji kehebatan bersama-sama juara bertahan dari Kanada, Derek Drouin serta pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2013, Mutaz Essa Bershim dari Qatar.
Untuk rekod, Derek muncul pemenang pada edisi tahun lalu dengan melakukan lompatan setinggi 2.37m, manakala Mutaz Essa yang merupakan juara pada 2012 dan 2014 pula mempunyai catatan terbaik peribadi 2.43m.
Nauraj yang berada di Jerman sejak 24 Jun lalu berkata, “Saya cukup bertuah untuk mendapat slot beraksi di Eberstadt. Ia kejohanan yang cukup istimewa, membabitkan hanya atlet-atlet lompat tinggi terbaik dunia. Memang menjadi idaman setiap atlet untuk beraksi di kejohanan itu.
“Ia sudah tentunya satu pertandingan yang cukup bagus buat saya kerana saya berpeluang menguji kebolehan dan mengetahui di mana kedudukan saya berbanding jaguh lompat tinggi dunia lain menjelang aksi Olimpik di Rio. Secara fizikal, saya berada dalam keadaan baik dan cuma perlu tambahbaik secara teknikal.”
Nauraj yang telah menjalani kem latihan selama sebulan di Sydney di bawah bimbingan jurulatih Alex Stewart pada bulan lalu, akan bertanding di tiga kejohanan di Eropah sebelum bertandang ke Rio – bermula dengan Kejohanan Olahraga Antarabangsa di Leiche, Belgium hari ini, diikuti Eberstadt pada Ahad dan yang terakhir di Halle, Jerman pada 24 Julai.
Pemegang rekod kebangsaan 2.29m yang berasal dari Johor itu kemudiannya akan menjalani latihan fasa akhir di Florida selama seminggu sehingga akhir Julai, sebelum berlepas ke Rio.
Nauraj dan atlet pecut 100m, Zaidatul Husniah Zulkifli adalah dua atlet olahraga yang akan membawa cabaran negara di temasya sukan terbesar dunia itu dari 5 – 21 Ogos depan.