Oleh Muhammad Aiman
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei adalah antara 32 atlet diserap ke dalam Program Podium menerusi senarai terbaru dikeluarkan Institut Sukan Negara pada Khamis. Â
Pengarah Podium, Tim Newenham berkata pemilihan atlet-atlet baru ke dalam program itu dibuat menerusi pemantauan secara teliti akan prestasi atlet-atlet terbabit serta kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
Badminton mempunyai wakil paling ramai dengan tambahan lima pemain baru di mana selain Jin Wei, turut tersenarai adalah Tan Kian Meng, Lai Pei Jing, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.
Selain 37 atlet yang diserap, Newenham menjelaskan 15 atlet terpaksa digugurkan atas faktor prestasi dan tidak menepati kriteria program manakala dua atlet (Delia Arnold dan Zulhelmi Pisol) pula telah mengumumkan persaraan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan atlet dalam program tersebut adalah 117 orang.Â
Antara nama besar yang tercicir dari program tersebut adalah Nur Suryani Taibi, Mohd Ezuan Khan, Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim kesemuanya dari sukan menembak. Â
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyatakan rasa gembiranya untuk melihat seramai 20 daripada 37 atlet itu datangnya dari kalangan atlet yang berlatih di bawah Program Kita Juara. Â
“Alhamdulillah kita capai sasaran, Kita Juara punya KPI iaitu untuk bekalkan lebih ramai atlet ke dalam Program Podium selain sasaran juara keseluruhan Sukan Sea dan tempat kedua di Sukan Para Asean. Setakat ini kita berbangga dengan apa yang telah kita hasilkan dan akan terus memastikan lebih ramai atlet dapat menonjolkan diri,” ujar Shapawi.
Untuk rekod, Program Podium dilancarkan pada Februari 2016 dengan jumlah awal 97 atlet merangkumi 97 jenis sukan.
Senarai atlet diserap ke dalam Program Podium :
Muhammad Akmal Nor Hasrin (memanah); Nauraj Singh Randhawa (olahraga); Tan Kian Meng, Lai Pei Jing, Goh Jin Wei, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin (badminton); Shariz Efendi, Fadhil Zonis, Farina Shawati Adnan, Khairil Nizam Rasol (berbasikal); Fairus Abd Jabal, Syamil Syazwan, Soufi Rusli, Zulhilmie Redzuan, Siti Zalina Ahmad, Zuraini Khalid (boling padang); Amy Kwan, Koi Sie Yan, Shasangary Sivaneswary (gimrama); Nurshazrin Mohd Latif (pelayaran); Razak Ghazali (silat); S.Sivasangari, Ng Eain Yow (skuash); Welson Sim (renang); Esther Cheah, Syaidatul Afifah, Siti Safiyah Amirah (tenpin boling); Azroy Hazalwafie (angkat berat); Loh Jack Chang, Wong Weng Son (wushu), Sona Anak Agon (para-powerlifting)