Oleh Muhammad Aiman
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa membuka kalendar 2017 dengan penuh sensasi setelah memenangi pingat emas di Grand Prix Canberra di Australia, pada Ahad.
Lompatan 2.25m yang dilakukan Nauraj, meskipun tidak menghampiri rekod kebangsaan 2.29m miliknya namun sudah cukup untuk menghadiahkan emas dengan mengatasi atlet tuan rumah, Nik Bojic (2.19m) dan rakan senegara, Lee Hup Wei (2.16m).
Ia adalah kemenangan keempat buat Nauraj di Australia dalam tempoh dua tahun kebelakangan, sekaligus menjadi suntikan semangat terbaik buat atlet kelahiran Johor itu yang dalam persiapan untuk mempertahankan pingat emas di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Untuk rekod, dia adalah penyandang pingat emas temasya dwitahunan itu sejak dua edisi lepas – dia meraih emas di Myanmar 2013 dengan catatan 2-17m dan kemudiannya di Singapura dua tahun lalu dengan catatan 2.13m.
“Canberra sentiasa menjadi venue bertuah buat saya, saya sukakan suasana di sini. Penyokong, trek, semuanya. Walaupun terlepas peluang melepasi angka 2.28m, saya fikir 2.25m dalam penampilan sulung tahun ini wajar dibanggakan,” ujar atlet berusia 25 tahun itu.
Pada tahun lalu, Nauraj pernah memenangi emas di Pertandingan Trek Klasik di Canberra dan Sydney selain Kejohanan Terbuka Australia.
Selepas ini, atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Rio itu akan mengambil bahagian dalam dua lagi pertandingan di Australia, termasuk di Sydney hujung minggu depan sebelum pulang ke tanah air untuk menghadapi Terbuka Malaysia pada April.