Oleh Muhammad Aiman
Lompatan olimpik 2.29m yang dilakukan Nauraj Singh Randhawa di Kejohanan Terbuka Singapura pada Khamis, berjaya melonjakkan atlet lompat tinggi negara itu ke kedudukan kedua dunia bagi acara luar dewan dalam ranking terbaru Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).
Begitupun, atlet berusia 24 tahun itu tidak terlalu teruja dengan berita itu sebaliknya menegaskan tumpuan utamanya kini adalah terus memperbaiki prestasi untuk melakukan lompatan yang lebih baik sambil mengharapkan agar dapat terus berlatih di bawah tunjuk ajar Alex Stewart.
âSaya tidak terlalu fikir sangat mengenai ranking, mungkin ini dibantu faktor ramai lagi atlet yang merupakan jaguh lompat tinggi belum turun beraksi untuk tahun ini dan kedudukan ini akan cepat berubah apabila lebih banyak kejohanan berlangsung selepas ini.
âApa yang penting bagi saya buat masa ini adalah terus berusaha untuk catat lompatan yang lebih tinggi, seboleh-bolehnya sebelum ke Rio saya mahu perbaiki lagi catatan 2.29 ini. Prestasi saya bertambah baik sejak berlatih bersama Alex (Stewart) dan saya harap dapat terus berlatih bersamanya di Australia.
âSaya akui kosnya agak tinggi, sebab itu saya harap akan dipertimbangkan untuk diserap ke dalam Program Podium. Melalui program ini saya yakin ia dapat menanggung kos untuk saya berlatih bersama jurulatih yang sesuai untuk saya,â jelas Nauraj ketika ditemui pemberita di Bukit Jalil petang tadi.
Untuk rekod, Nauraj yang sebelum ini dibimbing Alim Ahmejanov telah dihantar oleh Kesatuan Olahraga Malaysia dengan kerjasama Majlis Sukan Negara untuk menjalani latihan pendedahan luar negara di Sydney Olympic Park selama 90 hari bermula 20 Januari hingga 18 April yang lalu, berlatih di bawah bimbingan jurulatih acara lompatan Australia, Alex Stewart.Â
Berguru bersama Alex nyata banyak membantu meningkatkan teknik lompatan dan prestasi atlet kelahiran Johor itu di mana sewaktu di Australia, Nauraj telah menyertai lima kejohanan utama dan dua kali memperbaharui catatan peribadi terbaiknya dengan melakukan 2.22m dan kemudiannya 2.25m ketika meraih emas di Kejohanan Canberra Track Classics.
Terbaru, Nauraj menjadi atlet ke-13 yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang akan berlangsung Ogos depan, apabila lompatan 2.29m yang dilakukannya itu melepasi had kelayakan minima Sukan Olimpik sekaligus menjadi atlet lompat tinggi negara yang pertama untuk layak secara merit ke temasya berprestij dunia itu.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata permintaan Nauraj untuk diserap ke Program Podium akan dibincangkan bersama KOM dan juga jawatankuasa yang berkenaan memandangkan syarat untuk berada dalam program itu yang terlalu ketat.
Manakala mengenai hasrat Nauraj berlatih bersama Alex, Jefri berkata hasrat itu sudah sedia dipertimbang dan MSN akan cuba membantu atlet itu untuk berlatih di Australia dan menyertai pertandingan di beberapa negara Eropah dan juga Amerika Syarikat sebagai persiapan sebelum berlepas ke Rio.Â