Litar Antarabangsa Sepang bakal menjadi peluang terakhir buat pelumba terbaik negara, Nazim Azman untuk merebut mata sekaligus memperbaiki kedudukannya bagi saingan musim 2017.
Selepas empat siri perlumbaan, Nazim Azman menduduki tangga keempat daripada 13 pelumba yang mengambil bahagian.
Formula 4 Asia Tenggara kembali semula ke Litar Antarabangsa Sepang selepas dua kali diadakan pada Oktober 2018 dan Februari lalu, manakala dua lagi venue di Filipina dan Thailand.
Nazim yang muncul juara ketika perlumbaan siri kedua di Buriram, Thailand pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk menaiki podium selaku juara di Sepang hujung minggu ini.
“Sasaran saya untuk hujung minggu ini untuk menang sebanyak mungkin perlumbaan. Kerana sebelum ini di Buriram saya berjaya menaiki podium emoat kali berturut turut dan ia amat baik sekali. Kali ini saya mahu bersaing untuk menang tetapi tidak dapat untuk merebut gelaran keseluruhan kerana saya tidak beraksi pada dua siri sebelum ini. Jadi perlumbaan minggu ini hanya untuk pengalaman,”kata Nazim.
Bagi setiap siri, kesemua pelumba akan berlumba sebanyak enam kali.
Perlumbaan F4 merupakan platform asas bagi pelumba muda untuk menceburi dunia sukan permotoran sebelum melangkah lebih jauh.
Bagi Ketua Dagangan Runcit Petron, Faridah Ali, Petron selaku penaja utama pastinya mahu melihat pelumba muda tempatan membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dan lebih ramai berminat untuk menceburi sukan ini.
“Seperti yang kita tahu, Formula 4 adalah permulaan untuk pelumba pelumba muda dan menjadi batu loncatan untuk mereka menyertai kejuaraan yang lebih besar. Jadi kami mahu mendorong lebih ramai pelumba muda untuk mengambil bahagian dalam sukan permotoran dan ia juga mendorong kami untyuk terus menaja Formula 4,”kata Faridah. – OLEH KU MOHD LUFTI