Oleh Muhammad Aiman
Pada ketika ramai yang mempersoal kewajaran atlet olahraga remaja negara memilih untuk beraksi di temasya Sukan Malaysia berbanding Kejohanan Remaja Dunia IAAF Julai depan, bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad mempunyai pendapat berbeza mengenai perkara itu.
Raja pecut Asia Tenggara 2003 itu berkata dari pengalamannya, atlet yang membuat keputusan untuk beraksi di mana-mana kejohanan sudah tentunya mempunyai perancangan dan rangka latihan mereka yang tersendiri justeru keputusan mereka perlu dihormati, bukannya dikritik.
“Tindakan itu pastinya bersebab, dan jika kita memaksa mereka mengubah keputusan atau perancangan itu, fokus mereka mungkin akan terganggu. Kita perlu menghormati keputusan mereka, kerana mereka juga mahu berbakti dengan negeri kelahiran mereka. Tambahan pula mereka sudah tentunya diberi insentif oleh negeri masing-masing jika meraih pingat di SUKMA.
“Persatuan negeri juga banyak melabur dalam pembangunan atlet-atlet ini, jadi mungkin juga ini masa yang tepat untuk mereka membalas jasa. Jika kita desak juga mereka untuk pergi ke Poland, kemudian prestasi pula tidak memberansangkan ia adalah kerugian besar,” katanya.
Kata-kata Nazmizan ini tidak senada dengan ketua jurulatih pasukan olahraga negara, Zainal Abas yang berharap empat atlet – Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, R.Kirthana dan Mohd Rizzua Haizad – akan melupakan SUKMA dan menguji kemampuan bersaing dengan atlet remaja terbaik dunia yang lain di pentas lebih tinggi.
Ini susulan kepada keputusan dua pelari pecut Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam yang membuat keputusan untuk mengorbankan kejohanan dunia b-20 tahun itu yang bertembung dengan SUKMA yang akan berlangsung dari 22-31 Julai depan, manakala Rizzua pula sudah memberi bayangan awal betapa Sarawak tidak akan melepaskannya.
Untuk rekod, Khairul, Kirthana dan Rizzua pada minggu lalu menghadiahakn emas buat kontijen olahraga negara di Kejohanan Olahraga Remaja Asia yang berlangsung di Vietnam. Ianya adalah pencapaian terbaik negara di kejohanan dwitahunan itu sejak ianya diperkenal pada 1986.  Â
Tanpa mahu menidakkan kredibiliti SUKMA, Zainal yang kagum dengan peningkatan demi peningkatan ditunjukkan kem olahraga negara sejak kebelakangan ini, berkata peluang yang diperoleh ini tidak akan selalunya datang dan harus dimanfaatkan jika mahu melahirkan atlet yang berdaya saing di pentas tertinggi. Â Â