Oleh Muhammad Aiman
Negeri Sembilan hanya memerlukan satu mata sahaja untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia namun ianya bukan tugas mudah buat juara 2011 itu apabila berdepan pendahulu Kumpulan D, Felda United di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Tidak seperti peringkat awal musim, pasukan Hoben Jang Hoben bergelut dengan prestasi sejak aksi Liga Malaysia kembali bersambung pada Julai lalu menyaksikan mereka hanya menang tiga dari sebelas aksi terakhir – ketiga-tiganya dalam saingan Piala Malaysia.
Dengan sembilan mata, skuad bimbingan Gary Martins itu tiga mata mengatasi Melaka United dan kegagalan mengutip mata ketika menentang Felda bakal menyaksikan mereka berdepan kemungkinan tersingkir seandainya Melaka menewaskan Terengganu dalam satu lagi aksi di Gong Badak.
Apatah lagi, Terengganu dijangka tidak begitu berminat untuk mencari mata menentang Melaka memandangkan mereka yang hanya mengumpul tiga mata awal-awal lagi sudah tersingkir dan lebih berminat menyimpan kudrat untuk misi kekal di Liga Super.
Namun sedikit perkhabaran ceria bagi skuad rusa, Felda United yang sudahpun mengesahkan kemaraan lebih awal ke suku akhir setelah mengumpul 12 mata hampir pasti tidak menurunkan sebahagian besar pemain tonggak mereka termasuklah penjaring terbanyak, Francis Forkey Doe.
Felda ketika ini sedang turut memberikan saingan sengit kepada Johor Darul Takzim dalam misi memburu kejuaraan Liga Super dan Irfan Bakti sudah tentunya mahu memanfaatkan peluang ini untuk memberi rehat kepada pemainnya yang mengharungi jadual padat beraksi 11 perlawanan dalam tempoh 33 hari.
Namun, penjaga gol Negeri Sembilan, Syed Adney Syed Hussin berpendapat cabaran Felda tetap tidak boleh dipandang enteng kerana sedikit kesilapan di saat yang cukup getir ini akan menyaksikan mereka berputih mata.
“Ini adalah peluang terbaik kami untuk mara ke suku akhir, kami tidak perlukan bantuan sesiapa untuk melayakkan diri. Kami perlu layak atas usaha kami sendiri dan untuk itu, kami semua perlu menunjukkan satu prestasi yang lebih baik. Kami tidak beraksi dengan baik sejak beberapa perlawanan lalu terutamanya di bahagian pertahanan jadi ia perlu diperbaiki,” ujar bekas penjaga gol kebangsaan itu.
Piala Malaysia, adalah satu-satunya piala yang masih boleh dijulang Negeri Sembilan musim ini. Untuk rekod, sebelum ini mereka dilihat sebagai salah satu pencabar utama kejuaraan 100 Plus Liga Premier, menduduki tangga kedua ketika tamat aksi pusingan pertama.
Namun tiga keputusan seri dan empat kekalahan menyaksikan Negeri Sembilan tergelincir ke tangga kelima dan dengan baki empat perlawanan lagi untuk ditempuhi, peluang mereka mengintai kejuaraan liga mahupun melayakkan diri ke Liga Super sudahpun tertutup.