Pada malam yang dilihat berpotensi menghadiahkan mereka tiket kembali beraksi di saingan Liga Premier, Negeri Sembilan melakar kemenangan penting 3-1 ke atas Selangor dan menghidupkan peluang untuk kekal dalam Liga Super.
Ia turut dibantu kekalahan besar 1-5 dialami Kuala Lumpur di tangan Perak sekaligus bermakna perjuangan untuk mengelak tersingkir masih belum berakhir malah ruang untuk berlakunya keajaiban juga masih terbuka.
Dengan 15 mata, skuad Jang menduduki tangga kesebelas, ketinggalan enam mata di belakang Kuala Lumpur dan Selangor dengan hanya ada dua perlawanan berbaki.
Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, skuad bimbingan Mario Lemos mendahului pada minit ke-12 menerusi Nicolas Velez namun Red Giants hanya mengambil seminit sahaja untuk mengikat kedudukan menerusi penjaring terbanyak mereka, Rufino Segovia.
Bagaimanapun Negeri Sembilan kembali merebut pendahuluan menerusi penalti Flavio Beck Junior pada minit ke-17 untuk kedudukan 2-1 di separuh masa pertama sebelum Velez menambah satu lagi jaringan pada minit ke-72 bagi memastikan kemenangan keempat musim ini.
Sementara itu, kemenangan yang dilakar ke atas Kuala Lumpur membantu Perak mengukuhkan cengkaman di tangga kedua liga dengan 35 mata dan semakin menghampiri penamat terbaik mereka dalam liga sejak muncul naib juara pada 2007.
Pasukan bimbingan Mehmet Durakovic itu tampil dominan apabila mendahului 4-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Gilmar da Silva (m-7), Wander Luiz (m-11), Norhakim Hassan (m-17) dan Nazrin Nawi (m-36) sebelum menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan menerusi penalti disempurnakan Gilmar.
Gol saguhati buat skuad warga kota dijaringkan Guilherme De Paula.
PKNS FC pula meneruskan musim cemerlang mereka apabila melonjak ke tangga ketiga dengan 32 mata setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan PKNP FC 1-0 di Stadium Ipoh. Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain Singapura, Faris Ramli.
Manakala Pahang kembali melonjak ke tangga keempat setelah mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka United. Issey Nakajima Farran meletakkan tok gajah di depan seawal minit kelapan namun Melaka bangkit untuk mendahului 2-1 menerusi jaringan R.Gopinathan dan Yahor Zubovich.
Gol jaringan Austin Iwuji Amutu memastikan skuad Dollah Salleh pulang dengan satu mata dari Stadium Hang Jebat.MUHD AIMAN