Oleh Ku Mohd Lufti
Kerajaan Negeri Sembilan mahu memberi penumpuan dalam pembangunan sukan di negeri itu agar lebih ramai atlet elit negara datang dari negeri itu.
Menerusi Pelan Pembangunan Sukan Negeri Sembilan 2016-2030, ia bermatlamatkan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai salah satu kuasa besar dalam beberapa acara sukan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris berkata, pelan komprehensif itu akan menyediakan pembangunan sukan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
“Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan memandang serius pembangunan dan kecemerlangan sukan dan atas saranan beliau, kita akan melancarkan pelan itu tidak lama lagi,” kata Datuk Zaifulbahri Idris.
Terdahulu beliau hadir di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan Persatuan Renang Amatur Negeri Sembilan (PRANS) dan Pemerintah Provinci Sumatera Utara, Indonesia.
MoU itu ditandatangani Presiden PRANS Zainal Othman bagi pihak PRANS, manakala Pemerintah Provinsi Sumatera Utara diwakili Kepala Dinas Pemuda dan Olahraga Provinsi Sumatera Utara, H. Baharudin Siagian.
Jalinan kerjasama antara kedua dua pihak ini telah terjalin sejak sekian lama dan melibatkan sukan sepak takraw bersama Riau, karate (Padang), angkat berat (Pekan Baru), skuasy (Bandung) dan tinju bersama Batam.
“Hasil kerjasama yang terjalin ini amat positif dan banyak membantu kepada kejayaan dan kecemerlangan pasukan dan atlet kedua-dua pihak.
“Justeru, saya yakin dengan adanya usahasama penggabungan kepakaran jurulatih dan pengurusan kedua-dua persatuan perenang dan penerjun muda, kita akan mampu memperbaiki prestasi masing-masing,” katanya.
Beliau juga berharap kolaborasi yang terjalin akan dapat diperluaskan kepada sukan lain agar kedua-dua pihak mendapat manfaatnya.
Sementara itu, 56 atlet renang dan penerjun serta empat jurulatih dari Provinsi Sumatera Utara akan mengikuti kem bakat akuatik di Pusat Akuatik Negeri di sini, bermula Rabu hingga Ahad.