Empat tahun penubuhan, tiada siapa yang berani ‘menyentuh’ sehinggalah cerita kekalahan sekaligus tersingkir daripada Kejuaraan AFC Bawah 16 Tahun semalam.

Individu yang diberi tanggungjawab, Lim Teong Kim untuk mengemudi Program Pembangunan Bolasepak Negara meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia Bawah 17 tahun di Peru tahun depan.

Namun, perjuangan hanya mampu sehingga peringkat kumpulan padahal Malaysia perlu layak sekurang kurangnya separuh akhir untuk mengesahkan slot automatik ke Peru.

Peruntukkan yang cukup besar diberikan, namun pulangan yang diterima tampak tidak berbaloi.

Kementerian Belia dan Sukan perlu merombak kembali sistem yang digunapakai NFDP ketika ini dan mengenalpasti kelebihan dan kekurangan sebelum melangkah ke fasa baru.

Program ini tidak perlu ditutup, hanya memerlukan penambah baik menerusi sistem yang telah digunapakai oleh barisan kejurulatihan Lim Teong Kim.

 

 

Tidak perlu mempertikaikan lagi apa yang diterima oleh Lim Teong Kim dan barisan kejurulatihannya serta pengurusan NFDP sejak 2014 sehingga 2018.

Sejumlah amaun yang telah dibakar tidak akan datang kembali, justeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu segera duduk dan menentukan hala tuju seterusnya.

Kira kira 40 pemain yang berada dibawah PPBN fasa pertama ini perlukan hala tuju dengan secepat mungkin kerana bakat yang ada tidak boleh disia siakan.

Lim Teong Kim seakan akan tidak mahu menerima kenyataan beliau gagal melaksanakan matlamat yang beliau sendiri tetapkan.

Latihan, pertandingan di negara negara Eropah seakan akan sia sia dan ia dibuktikan ketika Malaysia tumbang di tangan Thailand dan sebelum Jepun menutup pintu untuk Malaysia.

PPBN antaranya terdiri daripada gabungan KBS, FAM, MSN dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang diletak dibawah Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak Negara (JBPN)

Persoalannya, adakah LTK dan NFDP bekerjasama sepenuhnya dengan ketiga tiga pihak terbabit?

Pembangunan, program, sistem latihan atau apa sahaja yang berkait dengan bolasepak perlu mendapat rujukan FAM sebagai badan induk bolasepak di Malaysia.

FAM mempunyai Pengarah Teknikal, Peter de Roo yang sudah pasti terbuka untuk membantu atau berkongsi pandangan demi kebaikan skuad kebangsaan. Namun adakah Peter di Roo ‘diterima’ oleh NFDP? Berapa kerap perbincangan diadakan diantara NFDP dan FAM?

 

Halaman 70 – https://www.nsc.gov.my/media/2014/08/PPBN,pdf

 

Dalam perkembangan berasingan, menurut data dalam PPBN, turut diselit pembangunan untuk pasukan bolasepak perempuan. Apa perkembangan terkini dan dimana pemain pemain ini ketika ini?

Segalanya bergantung kepada KBS, FAM, MSN untuk memutuskan hala tuju NFDP untuk tempoh akan datang kerana program ini dirangka sehingga 2031.

Samada betul atau tidak, LTK mungkin telah berjaya mengubah cara permainan dan ia ditonjolkan ketika Malaysia membenam Tajikistan dalam aksi pertama Kumpulan A.

LTK mungkin bukan jurulatih yang sesuai untuk skuad ini, tetapi dengan pengalamannya, beliau mungkin boleh membantu dalam perkongsian idea kepada jurulatih tempatan yang pernah dianggap sebagai bodoh sombong untuk menambahbaik sistem sedia ada.

Menyalahkan sistem dan budaya di Malaysia yang dilabel sebagai ketinggalan oleh LTK tidak sepatutnya timbul.

Beliau seharusnya memahami terlebih dahulu masalah yang wujud sebelum mencari jalan.

Samada alasan atau kaedah mahu melepas diri daripada soalan soalan panas yang diutarakan ketika sidang media, hanya Teong Kim sahaja yang lebih tahu.

RM 24 juta yang diterima daripada MSN (RM10 juta pada 2014, RM 7 Juta pada 2015, RM 3.5 juta pada 2016 dan 2017) sebenarnya telah mengganggu beberapa program pembangunan sukan lain, malah atlet negara yang mahu bertanding di kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke sukan Olimpik tergendala.

LTK masih belum memahami sistem di Malaysia, pelaburan memang perlu untuk menghasilkan sesuatu, tetapi bukan berakhir sekadar peringkat kumpulan.

Malaysia tidak boleh dibanding dengan Jerman dimana beliau berkhidmat bersama majikannya sebelum ini, Malaysia memerlukan perubahan yang menyeluruh dan sistem yang compang camping dan tidak boleh diubah dalam tempoh empat tahun.

Begitu juga dengan Jepun, dimana jurulatihnya Moriyama Yoshiro mendedahkan mereka mempunyai sistem latihan berpusat untuk semua peringkat umur dan menumpukan perancangan jangka panjang, bukan untuk sesebuah kejohanan besar.

Apapun, danke schön Lim Teong Kim diatas khidmat dan tunjuk ajar kepada pelapis baru bolasepak negara, KBS…apa langkah kalian selepas ini?

Pembangunan perlukan pengorbanan seperti wang ringgit, masa, tenaga, mahupun idea tetapi jangan ‘korbankan’ yang lain demi mengejar sesuatu yang tidak pasti. KU MOHD LUFTI 

 

 

 

 

- Advertisement -