Pemain muda yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong mempamer kecemerlangan apabila mengesahkan status selaku juara di kejuaraan Terbuka Belgium.
Pemain berusia 21 tahun kelahiran Johor itu, mempamer aksi yang cukup mantap apabila menundukkan pemain yang lebih berpengalaman, Ajay Jayaram dari India.
Ajay yang turun dengan status pilihan kelima nyata sukar untuk membaca corak permainan Tze Yong yang meraih kemenangan straight set 21-14, 21-14 untuk trofi ketiganya selepas muncul juara di Kejohanan Antarabangsa Australia Selatan 2019 dan Terbuka Poland 2021, pada Mac lalu.
Tze Yong mengulas taktikalnya yang berhasil menjadi faktor kejayaannya selain memastikan tahap kecergasan yang optimum.
“Saya rasa prestasi saya agak konsisten dalam kejohanan ini, dari pusingan pertama apabila saya berjaya menewaskan pilihan keenam, Victor Svendsen dari Denmark. Jadi saya rasa gembira dengan prestasi saya.
“Selepas setiap perlawanan, saya akan buat lebih senaman regangan dan minum protein untuk pulih, jadi saya rasa ia dapat membantu saya menjadi konsisten dan stamina tak banyak sangat menurun (selepas beraksi). Saya akan cuba yang terbaik untuk menjuarai kejohanan seterusnya,” katanya Yze Yong
Pemain ranking ke 74 itu dijangka akan menyertai kejohanan Terbuka Ireland di Dublin bermula 17-20 Nov, diikuti Terbuka Scotland (25-28 Nov) dan Antarabangsa Wales di Cardiff) dari 1-4 Dis.
Sementara itu dua wakil negara turut mengesahkan status selaku juara di Kejohanan Remaja Finlad hari ini.
Bergu campuran, Wong Vin Sean – Tan Zhing Yi muncul juara selepas menundukkan pilihan keempat dari Thailand, Apiluk Gaterahong – Sirada Roongpiboonsopit dengan kemenangan straight set 21-18 21-11.
Sementara pertembungan final bergu lelaki menyaksikan pertarungan diantara dua wakil negara.
Justin Hoh – Ong Zhen Yi menundukkan gandingan Muhd Fazriq Mohamad Razif – Wong Vin Sean dalam aksi tiga set 23-21 17-21 21-18.