Bekas pelumba pro negara, Ng Yong Li kini menyertai pasukan berstatus Benua, Kuwait Pro Cycling dan menggalas tugas sebagai Penolong Pengarah Sukan kelab itu.
Yong Li menjelaskan rakan sepasukan ketika beliau bersama Brunei Continental, Mehdi Tigrine yang mengajaknya untuk menyertai kelab itu.
“Mehdi dan saya bertemu ketika bersama pasukan Brunei Continental tahun lalu mengajak saya untuk menyertai pasukan Kuwait Pro Cycling dimana kami akan beraksi dalam Jelajah Asia,”kata Yong Li.
Minatnya dalam sukan berbasikal lebuhraya masih belum pudar meskipun telah bersara sebagai pelumba. Keputusan untuk bersama sama Kuwait Pro Cycling sekaligus mencetus kembali keghairahan Yong Li dalam arena ini.
“Ketika ini sedang fokus dalam perniagaan sahaja. Saya sertai pasukan kerana memang sudah lama dalam sukan berbasikal.
“Walaupun sudah bersara sebagai pelumba, hati tetap rindu untuk berlumba. Justeru bila dapat sertai pasukan, seakan akan saya akan kembali kepada kehidupan sebagai seorang pelumba,”katanya lagi.
Ng Yong Li memulakan kariernya dalam berbasikal lebuhraya sejak 2005 bermula dengan Proton T-Bikes sebelum menjelajah ke luar negara bermula dengan pasukan berstatus benua, Vitoria ASC yang berpengkalan di Portugal, diikuti Meitan Hompo GDR (Jepun) pada 2008.
Beliau kembali semula ke Malaysia untuk menyertai Le Tua Cycling pada 2009 – 2011 sebelum menyertai pasukan yang berpengkalan di Iran, Azad University pada 2012.
Pasukan Kuwait Pro Cycling dibarisi empat pelumba tempatan, Abdulhadi Alajmi, Saied Jafer Alali, Khaled Alkhalaifah dan Abdulrahman Al-Mansour.
Manakala pelumba lain, James Jobber (Great Britain), Charalampos Kastrantas dan Polychronis Tzortzakis masing masing dari Greece, Mehdi Tigrine (Belgium), Ahmad Badreddin Wais (Syiria) dan Rolly Weaver dari Amerika Syarikat.
Aksi sulung Kuwait Pro Cycling adalah perlumbaan berstatus 2.1, Jelajah Thailand yang dijadual bermula dari 1 hingga 6 April depan.