Oleh Muhammad Aiman
Nicholas Fung terus menyalakan impiannya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro, apabila menamatkan aksi Queens Cup di Koh Samui, Thailand di tempat ketujuh – kedudukan 10 teratas yang pertama buatnya dalam siri Jelajah Asia tahun ini.
Meskipun sedikit tersasar daripada sasaran awalnya untuk berada di kelompok lima terbaik, Nicholas tetap gembira dengan pencapaian terbaiknya di kejohanan itu yang berlangsung di Santiburi Samui Country Club.
“Ini kali pertama saya bermain dengan cukup baik di Koh Samui. Saya berkesudahan di tempat ke-12 pada penampilan pertama saya di sini pada 2013. Kemudian untuk dua tahun berikutnya saya tidak layak sehingga ke pusingan akhir.
“Saya cakap kepada diri saya untuk tidak terlalu memberi tekanan kepada diri di sini dan ianya berhasil,” katanya yang membawa pulang US$8,550 (RM35,000).
Pemain berusia 25 tahun itu memulakan hari terakhir kejohanan pada Ahad di tempat kesebelas, dan tampil dengan hayunan bertenaga untuk merekodkan catatan empat di bawah par 67 seterusnya melonjak ke tempat ketujuh hasil catatan keseluruhan 11 di bawah 273.
Selain Nicholas, dua lagi pemain golf profesional negara Danny Chia dan Sukree Othman turut beraksi di kejohanan bernilai US$300,000 (RM1.23 juta) ini tetapi kedua-duanya tidak melepasi pusingan awal.
Untuk rekod, Nicholas yang sedang mencari slot olimpik hanya akan layak ke Rio sekiranya berjaya memecah masuk ke kelompok 60 teratas ranking Olimpik sebelum tarikh akhir pada 11 Julai depan dan dia mempunyai satu lagi peluang untuk melonjakkan ranking menerusi penyertaan di Yeangder Tournament Players Championship di Taiwan hujung bulan ini.
Berdasarkan ranking olimpik terbaru bertarikh 13 Jun dikeluarkan Persekutuan Golf Antarabangsa, hanya Danny Chia (46) dan Gavin Kyle Green (59) berada dalam kedudukan untuk layak ke Rio.