Oleh Muhammad Aiman
Masa semakin mencemburui Nicholas Fung dalam usahanya mencari tiket ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro tatkala tinggal kurang sebulan sahaja lagi untuk tempoh kelayakan ke temasya sukan terbesar dunia itu berakhir pada 11 Julai depan.
Nicholas akan mara ke Rio sekiranya berjaya memecah masuk ke kelompok 60 teratas ranking Olimpik dalam tempoh tersebut dan untuk merealisasikannya pemain golf profesional negara yang kini di ranking 504 dunia itu perlu terlebih dahulu memperbaiki rankingnya untuk berada di 300 terbaik.
Bunyinya agak mustahil namun pemain golf berusia 25 tahun itu belum mahu berputus asa dan bersedia mengerah sehabis kudratnya dalam dua kejohanan yang akan diharungi iaitu Queens Cup di Koh Samui, Thailand minggu ini dan Yeangder Tournament Players Championship di Taiwan dari 30 Jun â 3 Julai.
Dengan nada optimis, Nicholas berkata, âSegalanya belum berakhir, di atas kertas masih ada peluang secara matematik untuk saya layak ke Rio, sekiranya saya mencatat pencapaian yang baik di Koh Samui dan Yeangder TPC.
âSaya mensasarkan kedudukan lima terbaik di Koh Samui minggu ini dan sekurang-kurangnya naib juara di Taiwan nanti. Jika saya boleh melakukannya, saya berpeluang untuk layak,â ujar naib juara Jelajah Asia sebanyak dua kali itu.
Tambah Nicholas, âIanya adalah satu kebanggaan membawa nama negara di pentas tertinggi dan saya sentiasa mengidamkannya. Saya akan terus cuba melakukan yang terbaik kerana saya mahu menjadi sebahagian daripada Sukan Olimpik.â
Selain Nicholas, dua lagi pemain golf profesional negara Danny Chia dan Sukree Othman akan turut mengambil bahagian di Queens Cup.
Setakat ini, hanya dua pemain negara iaitu Danny (ranking 221 dunia) serta Gavin Kyle Green (ranking 329 dunia) berada dalam senarai ranking Olimpik â namun hanya Danny dilihat sudah sebelah kaki untuk layak ke Rio apabila berada di kedudukan ke-46 manakala Gavin pula belum selamat apabila berada di kedudukan ke-59 ranking Olimpik.