Oleh Ku Mohd Lufti
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dipaksa bertarung sehingga lima set sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua, menewaskan pemain Australia, Rachel Grinham.
Pemain ranking kelima dunia ini menguasai set pertama sekaligus menang 11-4.
Namun Grinham mempamer permainan yang lebih mantap untuk menguasai dua set berikutnya 11-8, 11-8.
Diletak selaku pilihan kelima, Nicol kembali memperkemaskan corak permainannya untuk kembali menguasai gelanggang dengan permainan yang lebih pantas.
Tiada masalah untuk Nicol mengekalkan dominasinya ke atas Rachel Grinham yang tampak kian kepenatan apabila melakar kemenangan di set keempat dan set penentuan, 11-1, 11-2 selepas bertarung selama 47 minit.
“Sudah pasti kemenangan di pusingan pertama penting untuk saya. Malah saya gembira berjaya menewaskan Rachel Grinham. Saya menghadapi kesukaran untuk mengawal bola diawal permainan.”
“Saya mahu menumpukan permainan di pusingan kedua nanti dan memperbaiki cara mengawal bola,” kata Nicol.
Di pusingan kedua, Datuk Nicol akan menentang pemain Mesir, Heba El Torky yang melakar kemenangan ke atas pemain England, Allison Waters.