Ratu skuash negara, Dato’ Nicol David gagal mempertahankan pingat emas perseorangan wanita Sukan Komanwel apabila tersingkir di peringkat separuh akhir setelah tewas kepada pemain New Zealand, Joelle King pada Ahad.
Nicol, pemenang pingat emas edisi 2010 dan 2014 bergelut untuk mengimbangi permainan dan berdepan kesukaran menandingi kepantasan pemenang pingat gangsa di Glasgow itu dan akur dengan kekalahan 1-3 (11-13, 5-11, 11-1, 5-11).
Nicol akan berdepan pemain Wales, Tesni Evans dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Isnin.
Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Nafiizwan Adnan meneruskan sensasi di gelanggang skuash Kompleks Sukan Carrara tidak kesampaian setelah kecundang kepada James Willstrop di peringkat separuh akhir.
Pemain kelahiran Terengganu itu menterjemahkan antara prestasi terbaik kariernya ketika menyingkirkan penyandang pingat emas yang juga juara dunia, Nick Matthew di peringkat suku akhir pada Sabtu dan dia turun dengan misi besar untuk mengulangi kejutan itu.
Namun, Willstrop, pemain di ranking ke-14 dunia nyata terlalu kuat untuk disaingi Nafiizwan apabila dia tewas straight set 6-11, 10-12, 4-11 dalam masa 50 minit sekaligus terlepas peluang untuk menjadi pemain perseorangan lelaki pertama negara untuk beraksi di final.
“Ia kekalahan yang mengecewakan, saya tidak bermain sepertimana saya lakukan ketika di suku akhir. Ia permainan yang jauh berbeza tetapi saya tidak akan patah semangat, saya akan bangkit di perlawanan penentuan dan buat yang terbaik untuk hadiahkan pingat gangsa,” kata Nafiizwan.
Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi pingat dari acara perseorangan lelaki di Sukan Komanwel dan pencapaian Nafiizwan ini adalah yang terbaik sejak skuash dipertandingkan pada 1998. – OLEH MUHD AIMAN