Oleh Muhammad Aiman
Ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David hanya memerlukan 23 minit untuk merangkul gelaran pertamanya bagi tahun ini dengan menjuarai Kejohanan Jemputan Wanita SRAM 2016 di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.
Pemain nombor empat dunia itu mudah membenam pemain India, Joshna Chinnapa 11-6, 11-6, 11-4 pada perlawanan akhir sekaligus beroleh suntikan moral terbaik untuk mempertahankan Terbuka Hong Kong, kejohanan pembuka tirai Jelajah Persatuan Skuash Professional (PSA) bagi musim 2016/2017 yang akan berlangsung pada Ogos.
Joshna yang berada di ranking kesepuluh dunia, cuba tampil dengan aksi lebih baik berbanding ketika tewas kepada Nicol di peringkat kumpulan pada Rabu lalu, namun ternyata ianya sukar untuknya menyaingi kehebatan juara dunia lapan kali itu.
Nicol tampil berada pada prestasi terbaiknya dan nyata teruja untuk memenangi kejuaraan edisi sulung ini tanpa mencicirkan walau satu pun set sepanjang empat perlawanan.
“Prestasi saya bertambah baik pada setiap perlawanan, saya bermain mengikut perancangan dan memberi tekanan kepada lawan sejak dari mula.
“Joshna juga bermain dengan baik, dia tampil dengan cukup yakin selepas bangkit dari ketinggalan dua set untuk menewaskan Joelle (King) di separuh akhir semalam. Jadi saya tahu saya perlu tajam hari ini, dan gembira dapat terjemahkannya dengan baik,” ujar Nicol.
Tambah bekas pemain nombor satu dunia itu, “Kejohanan ini sememangnya saya jadikan sebagai pemanas badan untuk membantu persiapan saya menghadapi Terbuka Hong Kong. Saya berjaya kenalpasti dan perbaiki beberapa kesilapan dalam permainan. Setiap satu kemenangan sudah tentunya satu bonus bagi saya.
“Saya percaya saya semakin tajam dan lebih fokus secara mental, saya tidak sabar untuk memulakan musim baru,” kata Nicol yang akan menjalani latihan selama dua minggu berikutnya di Melbourne, Australia bersama-sama jurulatihnya Liz Irving.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy yang menewaskan Joelle King dari New Zealand 11-4, 8-11, 9-11, 11-5 dan 12-10 manakala Jenny Duncalf dari England menamatkan kejohanan di tempat kelima dengan menewaskan pemain negara, Delia Arnold 11-9, 9-11, 11-3, 11-6.