Oleh Muhanmmad Aiman
Semuanya serba tidak menjadi buat Dato’ Nicol David yang sedang mengharungi prestasi terburuk dalam kariernya, kali ini gagal melepasi halangan suku akhir Kejohanan Skuash Terbuka Amerika Syarikat setelah kecundang kepada pemain nombor lima dunia dari Mesir, Raneem El Welily awal pagi Khamis.
Walaupun bermula dengan langkah kanan setelah menang set pertama, kepenatan beraksi lima set ketika menyingkirkan Nour El Tayeb di pusingan kedua sehari sebelumnya nyata memberi kesan kepada aksi pemain nombor tiga dunia itu yang terpaksa akur dengan kekalahan 11-8, 8-11, 10-12, 9-11.
Kekalahan terbaru ini menyaksikan Nicol terus kempunan memburu gelaran pertamanya bagi tahun 2016 malah lebih mengecewakan gagal melepasi halangan separuh akhir dalam kesemua sembilan kejohanan sepanjang tahun ini.
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut terlepas gelaran dunia kepada Nour El Sherbini pada April, dan kemudiannya membuka tirai Jelajah PSA 2016/2017 dengan kegagalan mempertahankan kejuaraan Terbuka Hong Kong pada Ogos setelah tewas di separuh akhir, diikuti kekalahan di suku akhir Terbuka Al Ahram (Mesir) dan separuh akhir Terbuka Netsuite (San Francisco).
Sementara itu, dalam aksi separuh akhir yang akan berlangsung pada Jumaat, Raneem akan berdepan rakan senegara yang juga pemain nombor satu dunia, El Sherbini yang meneruskan kemaraan setelah menundukkan Alison Waters 11-7, 11-2, 11-6.
Dua lagi aksi suku akhir yang akan berlangsung lewat Khamis akan menemukan juara bertahan Laura Massaro dari England menentang Cammile Serme dari Perancis manakala Nouran Gohar dari Mesir akan menentang pemain tuan rumah Amandha Sobhy.