Ratu skuash kebangsaan, Dato’ Nicol David dan pemain perseorangan lelaki nombor dua negara, Ivan Yuen menepati ramalan mengungguli Kejohanan Skuash Kebangsaan Ke-33 yang menutup tirai di Pusat Skuash Jalan Duta, pada Jumaat.
Nicol yang kembali menyertai kejohanan itu selepas tiga tahun, tampil dengan aksi mantap untuk muncul juara dengan menewaskan Rachel Arnold 11-4, 11-7, 11-5 sekaligus merangkul kejuaraan keempat setelah turut melakukannya pada 2010, 2011 dan 2013.
Nicol tidak beraksi pada edisi 2014 kerana kecederaan manakala pada dua edisi lalu, pemain di ranking nombor enam dunia itu tidak mengambil bahagian kerana komitmen lain.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Nicol berkata, “Saya teruja untuk kembali beraksi di sini dan memenangi kejuaraan ini sekali lagi. Saya sudah begitu lama tidak beraksi menentang Rachel dan untuk melihat dia jauh meningkat adalah perkembangan yang baik. Dia mempunyai visi mahu menyerang cuma saya memberi tekanan dari awal dan memanfaatkan peluang saya.”
“Saya merasakan pemain-pemain muda kita banyak menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini dan apa yang mereka perlukan adalah pendedahan yang lebih di pentas kompetitif. Mereka telah membuktikan kemampuan dengan mencapai keputusan positif di peringkat remaja dan kita perlu memberi mereka dorongan untuk terus mengorak langkah ke depan.”
Kemenangan ini hadir tepat pada waktunya buat Nicol yang sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di Pusingan Akhir Siri Dunia pada 6-10 Jun depan.
Dalam pada itu, Ivan yang kecundang dua kali dalam aksi final pada 2014 dan 2016, menebus kekecewaan itu dengan memperaga aksi bertenaga apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain perseorangan nombor satu negara, Nafiizwan Adnan.
Ia hampir menjadi satu lagi penampilan final mengecewakan buat Ivan setelah Nafiizwan mendahului 2-1 (12-10, 3-11, 11-6) dan hanya memerlukan satu mata di set keempat untuk mengesahkan kejuaraan apabila mendahului 10-8.
Namun, kesilapan Nafiizwan membenarkan Ivan untuk bangkit meraih empat mata berturut-turut dan memenangi set keempat dengan keputusan 12-10 sebelum menamatkan perlawanan selaku pemenang dengan keputusan 3-2 (10-12, 11-3, 6-11, 12-10, 11-9).
“Ia perlawanan yang sangat sukar, Nafiizwan mengenali permainan saya dengan baik apatah lagi kami sudah banyak kali bertemu. Walaupun sudah di ambang kekalahan, saya beritahu diri saya supaya tidak berputus asa, terus tenang dan memberi tekanan kepadanya.
“Saya harap kejayaan di sini akan menjadi penyuntik semangat untuk saya beraksi di dua kejohanan di New Zealand minggu depan,” ujar Ivan yang membawa pulang hadiah kemenangan RM4,000. – OLEH MUHAMMAD AIMAN