Oleh Muhammad Aiman
Ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David menempah tiket beraksi di final edisi sulung Kejohanan Jemputan Wanita SRAM setelah mudah menundukkan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy.
Nicol, pemain ranking keempat dunia dan pilihan utama kejohanan, mengambil masa hanya 24 minit untuk melakar kemenangan 11-4, 11-4, 11-6 ke atas Omneya di Pusat Skuash Nasional di Bukit Jalil.
“Ia bukan mudah sepertimana yang anda lihat, Omneya cuba bangkit beri tentangan tetapi saya gembira dapat tampilkan prestasi terbaik saya. Saya tidak sabar menanti aksi final, sudah lama tidak bermain di final,” ujar bekas pemain nombor satu dunia itu yang dalam persiapan menghadapi Terbuka Hong Kong, Ogos ini.
Di final, Nicol akan sekali lagi berdepan dengan pemain nombor sepuluh dunia, Joshna Chinnapa dari India yang bangkit dari ketinggalan dua set untuk mencatat kemenangan ke atas pemain New Zealand, Joelle King.
Joshna terdahulu tewas 8-11, 5-11 sebelum menangtuga set berikutnya 11-8, 11-4, 11-9 dalam aksi berlangsung hampir satu jam.
Dalam aksi peringkat kumpulan Rabu lalu, Joshna tewas mudah kepada Nicol justeru dia pastinya mahu memberi tentangan lebih sengit dalam aksi final pada Ahad.
Sebelum aksi final, terlebih dahulu akan berlangsung perlawanan penentuan tempat kelima antara Delia Arnold dan Jenny Duncalf, diikuti penentuan tempat ketiga antara Joelle dan Omneya.