Oleh Muhammad Aiman
Ratu skuash negara, Dato’ Nicol David meraikan hari lahirnya yang ke-33 dengan penuh bergaya apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuash Terbuka Hong Kong setelah menundukkan pemain Perancis, Camille Serme di suku akhir.
Meskipun diheret beraksi selama lebih sejam masing-masing di pusingan pertama dan kedua sebelum ini, Nicol tidak menampakkan tanda-tanda kepenatan ketika berdepan pilihan keenam itu dan melakar kemenangan 11-8, 13-11, 7-11, 11-2 di Pusat Skuash Hong Kong.
Ianya adalah kemenangan kesembilan pemain nombor tiga dunia itu ke atas Carmille dan lawan yang menanti Nicol di separuh akhir nanti adalah juara remaja dunia dari Mesir, Nouran Gohar yang melangkah setelah mengejutkan pemain nombor dua dunia dari England, Laura Massaro dalam aksi yang berlangsung selama 80 minit.
Pemain berusia 18 tahun itu yang merupakan pilihan kelima, mengetepikan tentangan sengit Laura yang bangkit dari ketinggalan dua set untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum menang 3-2 (11-8, 11-9, 8-11, 8-11 dan 14-12).
Kali terakhir Nicol, juara dunia lapan kali dan juga pemain nombor tiga dunia berdepan Nouran adalah di peringkat kumpulan World Series Finals di Dubai pada Mei lalu, yang mana Nicol mencatat kemenangan straight set dalam pertemuan itu.
Perlawanan lain menyaksikan pemain nombor satu dunia yang juga juara dunia, Nour El Sherbini mara ke separuh akhir setelah menewaskan rakan senegara Omneya Abdel Kawy 11-6, 11-7, 11-5 dan akan berdepan pemain Amerika Syarikat, Amanda Sobhy.
Pemain pilihan ketujuh itu hanya mengambil masa 27 minit untuk menyingkirkan seorang lagi pemain Mesir, Nour El Tayeb 11-6, 11-4, 11-8.