Ratu skuash negara, Datuk Nicol David kekal dalam landasan memburu kejuaraan dunia kesembilan peribadi setelah melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia 2017 di Manchester setelah menundukkan pemain Hong Kong, Annie Au dalam aksi pusingan kedua pada Rabu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mencatat kemenangan 3-1 (11-7, 11-3, 10-12, 11-6) dalam masa 33 minit ke atas seteru utamanya di rantau Asia itu untuk menempah pertemuan menentang pilihan kedua dari Mesir, Raneem El Welily di suku akhir pada Jumaat.

 “Sememangnya saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit dan Annie nyata tidak memberi laluan mudah. Dia cuba untuk mengejar, memasuki set keempat dia cuba melengahkan masa untuk melakukan pukulan agar fokus saya terganggu tetapi saya tahu saya hanya perlu mengawal tekanan dengan baik. Keseluruhannya saya cukup berpuas hati dengan permainan hari ini,” ujar Nicol, dipetik dari laman rasmi kejohanan.

Kemenangan itu dalam masa sama melebarkan rekod kemenangan pemain berusia 34 tahun itu ke atas Annie – pemain di ranking ke-11 dunia kepada 25-1.

Kali terakhir Nicol memenangi gelaran dunia adalah pada edisi 2014 ketika ia berlangsung di Kaherah, Mesir. Pada edisi 2015 dan 2016, cabaran Nicol tersekat di suku akhir – kedua-dua edisi itu dimenangi pemain nombor satu dunia ketika ini, Nour El Sharbini.

Raneem yang merupakan pemain nombor dua dunia dan naib juara kejohanan ini sebanyak dua kali mara ke suku akhir setelah mengetepikan Victoria Lust dari England 3-1 (11-5, 15-13, 11-13, 11-5).

Ianya jelas tugas sukar buat Nicol dan perlu menterjemahkan prestasi luar biasa jika berhasrat meneruskan kemaraan apatah lagi dia tidak pernah menewaskan Raneem dalam empat pertemuan terakhir sebelum ini.OLEH MUHD AIMAN 

 

 

- Advertisement -